Antagonis yang menghantui - Utusan Malaysia

Antagonis yang menghantui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan, sebilangan besar watak antagonis adakalanya lebih menyerlah berbanding watak hero dalam sesebuah filem. 

Perkara itu disebabkan asas karakter jahat berkenaan yang kukuh, memberi impak, diingati dan lebih realistik. 

Malah Kemunculan watak-watak gelap ini turut dianggap sebagai penguat jalan cerita. Berikut empat watak antagonis ikonik sepanjang sejarah perfileman Hollywood: 

 

DARTH VADER

DILAKONKAN mendiang David Prowse dalam trilogi asal filem Star Wars, Darth Vader diangkat antara watak antagonis paling menyerlah sepanjang sejarah perfileman Hollywood. 

Unsur kejahatan, selain aura dan karakter yang kompleks menjadikan watak ini cukup diingati. Malah ada ketikanya lebih menyerlah berbanding watak lain.

Imej bersut hitam dan helmet, selain karakter suara garau juga membuatkan watak ini ‘melekat’ dalam ingatan penonton. 

Impak ditinggalkan watak ini, besar. Lebih mengagumkan apabila lagu latar khas, The Imperial March yang dicipta khusus untuknya 45 tahun lalu, kekal ‘hidup’ sampai ke hari ini.

HANNIBAL LECTER

Karakter ini tidak seperti kebanyakan watak antagonis lain yang mungkin senang dikenal pasti dengan cara mereka ketawa dan kata-kata jahat yang mereka ucapkan. Hannibal Lecter seorang lelaki tenang tetapi berbahaya. 

Bahkan, cara pertuturannya kedengaran lembut tetapi cukup mengerikan.

Hannibal Lecter pernah dibawakan beberapa pelakon hebat termasuk Mads Mikkelsen dan Brian Cox. Namun lakonan Anthony Hopkin dianggap paling menyerlah berbanding yang lain.

JACK TORRANCE

Jack Torrance adalah manusia bertopengkan syaitan. Dia tewas dengan pengaruh iblis yang menghasut agar dia membunuh isteri dan anak-anaknya. 

Watak ini berjaya dihidupkan dengan sebaiknya oleh Jack Nicholson.

Filem The Shining sarat dengan elemen seram dan mistik. Namun kisah tentang watak Jack Torrance ini, yang bergelut dengan pengasingan diri, masalah ketagihan alkohol dan trauma masa kecil menjadikannya lebih menyeramkan berbanding elemen lain dalam filem berkenaan.

THE JOKER

The Joker yang dilakonkan mendiang Heath Ledger dalam filem The Dark Knight diangkat sebagai antara watak jahat paling meninggalkan impak dalam dunia perfileman Hollywood.

Berbeza dengan watak jahat lain, Joker tidak mempunyai sebarang motif atas segala tindakannya. Dia hanya mahu melakukan kebinasaan.

Joker tidak menginginkan kekayaan, nama, pangkat dan sebagainya. Karakter ini bertepatan dengan pernyataan ‘segelintir lelaki hanya ingin melihat dunia musnah’.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN