The Conjuring Last Rites: Jangan takut, hadap! - Utusan Malaysia

The Conjuring Last Rites: Jangan takut, hadap!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANA-mana filem penutup daripada francais popular pasti akan membuatkan saya mempunyai harapan sedikit lebih tinggi berbanding filem-filem sebelumnya. Begitu juga francais Conjuring, pertama kali menemui kita pada 2013 hasil tangan James Wan sebelum lapan lagi filem lain di bawah ‘The Conjuring Universe’ atau semesta Conjuring ditayangkan.

The Conjuring Last Rites (TCLR) sebagai naskhah penutup sekali lagi diletakkan di atas bahu Michael Chaves (seperti mana empat filem dalam semesta Conjuring yang pernah diarahkannya). Sebagai naskhah penutup, saya berpendapat ia sebuah keputusan bijak untuk menarik kembali penonton kepada sisi peribadi Lorraine Warren dan Ed Warren yang selama ini mungkin diceritakan sekadar di permukaan.

Ketika menonton filem seram, kita perlu faham bahawa ia sebuah manipulasi kepada emosi. Jadi, filem seram yang baik adalah naskhah yang mampu memanipulasi rasa takut dengan pelbagai cara, plot cerita, adegan tegang yang dibina serta karakter yang dimainkan.

Namun begitu, saya berpendapat filem seram yang bagus adalah naskhah yang berjaya mencungkil rasa takut dalam diri penonton, kita berasa terpanggil untuk memberi sebuah refleksi kepada diri sendiri.

TCLR dibina sangat peribadi, kita tidak melihat Lorraine dan Ed tidak lagi sebagai ‘pakar cari hantu’ tapi sebagai ibu bapa yang mana ketakutan sebenarnya bukan hantu, tapi rasa cemas untuk tetap melindungi anaknya, Judy Warren. ‘Jangan takut, hadap’ masih terngiang bisik Lorraine kepada Judy.

Pekerjaan buru hantu yang berisiko secara tak langsung membuatkan Lorraine dan Ed perlu ‘membayar’ harga lebih mahal terhadap perjuangan mereka iaitu nasib satu-satu anak perempuannya. Hantu, jembalang atau apapun itu adalah makhluk yang bersifat dendam. Mereka akan mencari seribu satu cara untuk ‘memanggil’ dengan Ed dan Lorraine walaupun memakan masa berpuluh tahun.

Seperti filem francais sebelum ini, Chaves membina rasa takut perlahan-lahan. Cuma untuk TCLR saya merasakan dia menjual emosi kekeluargaan lebih banyak di awal filem. Baik untuk keluarga Warren mahupun Smurl. Kemudian takdir dua keluarga ini saling bersilang, sayangnya adegan titik temu mereka tidak terasa mengujakan.

 

Filem seram tidak boleh sekadar mengacah atau mengagah kerana entahlah, saya rasa hanya memberi kesan sementara sahaja. Namun yang benar-benar membuat kita ‘bergetar’ adalah bagaimana sesuatu karakter itu berada dalam ruang psikologi yang turut mengheret penonton kepada sebuah rasa tidak selesa. Inilah yang saya fikir kurang ketika membahaskan beberapa pembinaan adegan tegang dalam TCLR.

Sebenarnya, ketika mereka memperkenalkan cermin vintaj sebagai antagonis utama, saya merasakan ia pencetus ketegangan yang menarik kerana cermin selalu memberi kita perasaan enigma.

Namun sayang, perasaan itu tidak dimanipulasi dengan baik kerana hujung-hujung ada tiga jembalang lagi pula yang perlu kita hadap. Mereka pun tidaklah seram mana cuma yang menyelamatkan keadaan adalah skor muzik serta lakonan hebat tidak berbelah bagi Patrick Wilson dan Vera Farmiga.

Karakter Judy saya faham kenapa ia wujud, namun David? Siapa pula awak ini yang muncul tiba-tiba dan tidak pula saya rasa hubungan romantiknya dengan Judy. David lebih kepada fans Warren jika mahu dibandingkan sebagai pasangan romantik Judy. Sebab itu agaknya Ed selalu memberikan pandangan yang serba ragu. Saya faham itu.

Namun begitu, tidak adil untuk saya katakan The Conjuring Last Rites naskhah yang teruk hanya kerana ia kurang menepati cita rasa dan harapan saya. Ada sedikit kecewa kerana saya menjangkakan naskhah terakhir lebih menggila namun masih okay-okay saja. Sebagai francais yang sudah menemani saya bertahun-tahun lama, saya pasti akan merindui Warren dan semua petualangannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN