WEAPONS dibuka dari cerita seorang kanak-kanak yang entah, tidak tahu siapa namanya tentang kejadian misteri dan aneh di sebuah pekan bernama Maybrook. Bagaimana 17 kanak-kanak di kelas yang sama tiba-tiba keluar rumah pukul 2:17 pagi dengan gaya sama – berlari menonong dengan tangan ke belakang. Mereka kemudian hilang tidak pulang-pulang.
Tiada seorang pun yang boleh meletak titik logik misteri kehilangan mereka itu. Tidak pasti sama ada polis pekan itu memang lembab atau mereka mengalami compassion fatigue terhadap ibu bapa mangsa atau kes itu memang terlalu sukar untuk diselongkar. Lebih aneh, hanya dua orang yang terselamat daripada misteri itu iaitu guru mereka Justine serta seorang lagi kanak-kanak pendiam bernama Alex.
Setiap kejadian harus ada punca. Tapi kerana sukar mencari punca, mereka tetap perlu mencari satu kambing hitam yang perlu disalahkan iaitu Justine. Dia menjadi ‘beg tumbuk’ emosi dan kemarahan ibu bapa mangsa.
Sekarang mari kita telusuri gaya bercerita Zach Cregger iaitu pengarah juga penulis skrip Weapons – yang juga pernah mencetuskan fenomena filem genre horor semasa menghasilkan Barbarian (2022). Dalam menghurai misteri itu, Zach menyampaikan cerita melalui persepsi beberapa individu sekali gus mengikat penonton kerana tidak ada satu pun petunjuk jelas tentang apa yang berlaku. Kita kekal meneka-neka, meragui setiap karakter bersama-sama, hanya di tengah-tengah cerita baru kita ‘eh begitu pula?’.
Zach memberi jenama seram dan misteri sebagai genre Weapons, oleh itu filem ini harus berfungsi untuk memberikan kita dua perasaan itu untuk dianggap berjaya. Namun dalam menyampaikan dua rasa itu, saya melihat Zach bermain-main dengan gaya penyampaiannya dengan unsur drama menarik di tengah-tengah dua fungsi utama filem itu. Ia masih jenaka, tapi masih seram pada masa sama namun, paling mustahak masih berjaya mengekalkan premis misteri kehilangan.
Struktur cerita Weapons sangat jelas, saya tidak meragui itu. Namun peleraian cerita ini menimbulkan lebih banyak persoalan seperti dari mana datangnya sihir yang dimiliki Gladys (tidak tipu, ilmu hitamnya terasa sangat Asia sekali). Zach tidak memberikan kita cerita latar Gladys, mungkin dia sengaja mahu buat kita tertanya-tanya atau entah, saya berharap mengenalnya lebih dalam.
Juga apa sebenarnya yang nenek itu inginkan setelah menculik budak-budak itu? Dia bukanlah lebih sihat, tetap tua. Jadi, kecantikan dan awet muda bukan yang dimahukan Gladys. Jadi apa? Saya tidak jelas end game nenek itu. Setiap yang disihir boleh kembali, tapi mereka sudah tiada jiwa. Hanya jasad sahaja. Tapi, mengapa sihirnya tidak memberi kesan sama kepada karakter Archer?
Weapons menunjukkan dalam cerita ini setiap karakter hanyalah pemain, termasuk Gladys. Kuasa yang sebenar adalah sepohon pokok aneh berwarna hitam yang juga entah dari mana datangnya. Sesiapa sahaja termasuklah budak gred lima sekolah rendah boleh menjadi ahli sihir dengan menjadikannya senjata.
Namun begitu, setelah difikir-fikir, misteri kehilangan kanak-kanak ini boleh sahaja terbongkar lebih cepat jika para ibu bapa ini tidak menaruh sepenuh kepercayaan kepada polis yang tidak kompeten. Kalaulah orang di pekan itu tahu bertanya khabar di mana anak-anak kawan mereka yang hilang, misteri itu dapat dirungkai lebih cepat.
Sumpahan sebenar pekan itu bukan datang daripada nenek ala-ala badut, tapi orangnya yang hanya mahu buat kerja sendiri. Betapa dinginnya layanan diterima Archer hanya untuk melihat video rakaman litar tertutup mencari anaknya hilang. Cuma betapa sialnya nasib Justine ketika dihalau keluar kedai walaupun dikejar hantu.
Kalaulah kita reti bertanya khabar, mengapa jiran-jiran kita berperangai pelik, tidak bercakap sementara anaknya bolak-balik membawa plastik beg berat penuh sup campbell. Mungkin semuanya dapat diselesaikan lebih cepat. Namun apakan daya, walaupun di pekan sekecil itu, kita lebih selesa dengan kesendiriannya masing-masing