Hero yang bangkit daripada penyakit - Utusan Malaysia

Hero yang bangkit daripada penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN bergelar selebriti ternama, terdapat beberapa bintang K-Pop yang tidak terlepas dari diuji dengan masalah kesihatan yang berat. 

Meskipun menanggung derita menghidap penyakit kronik, selebriti bertaraf antarabangsa ini tetap tidak jemu menghiburkan peminat dengan menunjukkan semangat yang kuat untuk terus aktif dalam dunia lakonan dan hiburan.

Lebih mengagumkan, mereka juga berjaya membuktikan bahawa mereka memiliki kekuatan mental dan fizikal yang luar biasa selain menganggap penyakit bukanlah penghalang untuk terus berjaya dan memberi inspirasi kepada orang lain. 

Berikut adalah lima selebriti Korea yang menghidap penyakit serius, namun masih komited meneruskan kerjaya seni.

Kim Woo Bin

Pelakon terkenal Korea Selatan, Kim Woo Bin disahkan menghidap kanser nasofaring pada 2017. Difahamkan, kanser yang dialami aktor itu jarang berlaku dan menyerang bahagian atas tekak di belakang hidung (nasofaring).

Kim Woo Bin menghidap kanser itu ketika berada di puncak kerjayanya selepas mengalami beberapa gejala seperti hidung tersumbat, sakit kepala, dan benjolan di leher.

Setelah mendapatkan pemeriksaan lanjut yang membawa kepada diagnosis tersebut, pelakon drama bersiri Uncontrollably Fond itu menghentikan segala aktiviti seninya dan menjalani rawatan intensif yang melibatkan kemoterapi dan radioterapi.

Usai memberi tumpuan penuh kepada proses rawatan, Kim Woo Bin perlahan-lahan kembali aktif dalam dunia lakonan pada 2019 dan muncul menerusi filem serta drama yang menerima sambutan hangat seperti Our Blues dan Alienoid.

Shin Dong Wook

Pelakon terkenal Korea Selatan, Shin Dong Wook, pernah mengejutkan dunia hiburan apabila mendedahkan bahawa beliau menghidap penyakit neurologi kronik yang jarang berlaku dan dikenali sebagai Complex Regional Pain Syndrome (CRPS).

Dong Wook disahkan mengalami penyakit tersebut pada 2010 sewaktu menjalani latihan ketenteraan wajibsetelah mengalami kesakitan luar biasa pada tubuhnya, terutamanya anggota badan.

Disebabkan penyakit tersebut, beliau telah dibebaskan lebih awal dari khidmat ketenteraan, sekali gus menamatkan sementara karier lakonannya yang sedang meningkat naik ketika itu.

Setelah bertahun-tahun menjalani rawatan intensif dan terapi, aktor kegilaan ramai itu akhirnya membuat kemunculan semula dalam drama “The Guardians” pada 2017.

Park So Dam

Pada hujung tahun 2021, pelakon, Park So Dam, yang dikenali menerusi filem bertaraf Oscars, Parasite (2019), pernah didiagnosis menghidap kanser tiroid papilari.

Menurut kenyataan agensinya, penyakit itu dikesan secara tidak sengaja semasa pemeriksaan kesihatan berkala. Doktor telah menemui ketumbuhan pada kelenjar tiroidnya dan hasil biopsi mengesahkan kanser tersebut berkembang perlahan namun boleh merebak jika tidak dirawat.

Park So Dam segera menjalani pembedahan membuang kanser tiroid dan berehat seketika daripada aktiviti seni untuk fokus kepada pemulihan. Kemudian, beliau kembali aktif dalam industri hiburan dan muncul dalam beberapa projek baharu.

Kim Bum

Pelakon terkenal, Kim Bum atau Kim Sang Bum, mendedahkan bahawa beliau telah berdepan dengan masalah kesihatan sejak usia awal 20-an, setelah mengalami artritis degeneratif yang memberi kesan terhadap lututnya.

Pelakon drama Boys Over Flowers itu ini mengalami penyakit tersebut dipercayai berpunca daripada penurunan berat badan secara drastik sewaktu membintangi drama Padam Padam. 

Difahamkan, penyakit tersebut adalah sebahagian daripada faktor keturunan. Walaupun menanggung kesakitan kronik, beliau tetap aktif berlakon dalam drama seperti Law School dan Tale of the Nine Tailed.

Nam Woo Hyun

Pada 2023, ahli kumpulan INFINITE, Nam Woo Hyun disahkan menghidap Gastrointestinal Stromal Tumor (GIST), yang menyerang sistem pencernaan.

Tumor itu mula dikesan melalui pemeriksaan kesihatan berkala beberapa tahun sebelumnya, namun pada awal tahun 2023, saiz tumor tersebut telah membesar sehingga kira-kira empat sentimeter dan memerlukan pembedahan segera.

Selepas pembedahan, Woo Hyun menghadapi kesan sampingan yang serius seperti tidak dibenarkan minum air selama hampir tiga minggu dan  mampu makan secara normal selama lebih dua bulan.

Keadaan itu melemahkan tubuhnya dan memberi kesan besar terhadap kesihatan fizikal serta kemampuan vokalnya. Pun begitu, penyanyi itu kembali membuat kemunculan semula dengan melancarkan album solo pertama, Whitree pada November 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN