Usia 40-an pun masih tampan - Utusan Malaysia

Usia 40-an pun masih tampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun pelakon muda seperti Kim Soo-hyun dan Park Seo-jun sering menjadi sebutan di media sosial, tidak bermakna barisan pelakon senior Korea Selatan harus dilupakan.

Mereka bukan sahaja kaya dengan pengalaman, malah masih mengekalkan penampilan menawan setanding dengan rakan seperjuangan yang lebih muda.

Berikut ialah lima pelakon lelaki Korea berusia lebih 40 tahun yang wajar diberi perhatian.

Lee Dong Wook

Lee Dong Wook mula melibatkan diri dalam dunia lakonan sejak tahun 1999, menjadikan dirinya kini memiliki pengalaman hampir suku abad dalam industri.

Bintang kelahiran Seoul ini mula meraih populariti menerusi drama komedi romantik My Girl pada tahun 2005, dan terus kekal sebagai antara pelakon paling popular di Korea Selatan.

Namanya semakin melonjak selepas bergandingan dengan rakan karibnya Gong Yoo dalam drama fenomena Guardian: The Lonely and Great God pada tahun 2016.

Terbaharu, pelakon ini membintangi A Shop For Killers, memegang watak lelaki misteri yang meninggalkan sebuah kedai kepada anak saudaranya selepas kematiannya.

Dong Wook juga sering dipuji kerana wajahnya yang awet muda. Ketika muncul dalam saluran YouTube kendalian Meenoi, hos tersebut terkejut apabila mengetahui usia sebenar pelakon berkenaan yang sudah melebihi 40 tahun, malah menyatakan Dong Wook kelihatan jauh lebih muda daripada usianya.

Gong Yoo

Rakan baik kepada Lee Dong Wook, Gong Yoo, yang dua tahun lebih tua daripadanya, mula berlakon pada tahun 2001.

Namanya meledak menerusi drama Coffee Prince pada tahun 2007, namun dia bukan sekadar pelakon drama romantik semata-mata.

Semasa menjalani khidmat ketenteraan, beliau membaca novel The Crucible yang berdasarkan kisah benar berkenaan penderaan seksual di Sekolah Gwangju Inhwa, sebuah sekolah untuk pelajar pekak.

Gong Yoo kemudiannya mencetuskan penghasilan filem adaptasi novel itu pada tahun 2011, yang bukan sahaja mencetuskan kesedaran masyarakat, malah mendorong pihak polis untuk membuka semula siasatan.

Susulan itu, pindaan undang-undang berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan golongan kurang upaya telah diluluskan. Antara karya terbarunya termasuk Squid Game dan The Silent Sea.

Jo Jung Suk

Nama Jo Jung Suk barangkali dikenali ramai menerusi drama Hospital Playlist, Architecture 101, You Are The Best! dan Oh My Ghost.

Sejak penampilan pertamanya di layar kaca pada tahun 2011, pelakon ini terus menyerlah dalam pelbagai peranan ikonik. Namun, hakikatnya Jo bukanlah pendatang baru dalam bidang seni.

Sebelum bergiat aktif dalam drama televisyen, dia terlebih dahulu beraksi dalam pentas muzikal sejak tahun 2004.Kebolehan vokalnya juga sering diperkatakan, hasil latar belakangnya dalam bidang muzik, malah pelakon ini turut menyumbang suara untuk runut bunyi beberapa drama dan filem.

Baru-baru ini, netizen mengesyaki dirinya adalah individu di sebalik saluran YouTube Cheonggyesan Daengi Records, yang memuat naik nyanyian semula menggunakan nama samaran.

Spekulasi itu timbul selepas penyanyi IU memuat naik penghargaan terhadap pemilik saluran tersebut kerana menyanyikan semula lagu Love Wins All. Netizen mengaitkan gitar dalam video berkenaan dengan gitar khas yang pernah dihadiahkan oleh peminat kepada Jung Suk.

Syarikat pengurusannya tidak mengesahkan atau menafikan spekulasi tersebut.

Jo Jung Suk berkahwin dengan penyanyi solo popular, Gummy, dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan.

Hyun Bin

Bagi peminat baharu drama Korea, nama Hyun Bin pasti sinonim dengan watak Ri Jeong-hyeok dalam Crash Landing On You. Namun, pelakon berkarisma ini telah lama mencipta nama sejak penampilan sulungnya pada tahun 2003, selepas projek lakonan pertamanya pada 2002 terpaksa dihentikan.

Nama Hyun Bin mula mendapat perhatian selepas membintangi drama My Lovely Sam Soon. Dia kemudiannya membuktikan keupayaannya dalam pelbagai genre, termasuk menerusi Secret Garden, yang menyaksikannya membawa watak Ketua Pegawai Eksekutif yang bertukar tubuh dengan seorang pelakon lagak ngeri.

Hyun Bin mendirikan rumah tangga bersama pelakon Son Ye-jin pada Februari 2022. Pasangan selebriti popular ini telah dikurniakan seorang anak pada November tahun yang sama.

Lee Joon Gi

Lee Joon Gi melonjak populariti menerusi filem The King and the Clown pada tahun 2005, diikuti peranannya dalam My Girl. Sejak itu,dia terus memikat hati penonton menerusi pelbagai drama seperti Iljimae, Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo, Criminal Minds, dan Flower of Evil.

Menariknya, Lee Joon Gi jarang menggunakan pelakon lagak ngeri kerana dirinya mahir dalam seni mempertahankan diri.

Keakrabannya dengan rakan pelakon turut menjadi perbualan, terutamanya dengan IU, yang masih kekal sebagai rakan baik hingga ke hari ini.

Mereka juga pernah muncul bersama dalam rancangan Men on a Mission, dan pada Mac lalu, Lee hadir ke konsert IU di Seoul sebagai tanda sokongan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN