DATUK Sheila Majid memendam perasaan gemuruh sebelum cuba mendapatkan kebenaran daripada bapanya, Allahyarham Abdul Majid Mohd Shahid untuk menjadi penyanyi.
Pemilik nama penuh Shaheila Abdul Majid yang ketika itu masih belasan tahun sedar beliau tidak mungkin berjaya dalam apa juga pekerjaan dilakukannya sekiranya tidak mendapat restu ibu bapa.
Namun bukan mudah melembutkan hati arwah Abdul Majid kerana beliau seorang yang tegas. Tambah pula arwah sangat menekankan kecemerlangan akademik bagi kelapan-lapan anaknya.
Pada masa sama, tidak ramai ibu bapa zaman itu yang reda jika anak-anak mereka masuk ke dalam dunia hiburan yang pada era tersebut dianggap ‘gelap’.
Jadi kebarangkalian pelantun lagu malar segar, Sinaran ini untuk mendapatkan kebenaran bapanya untuk menjadi penyanyi awal dulu adalah tipis.
“Ayah saya ini tidaklah garang, tetapi beliau tegas. Pada masa yang sama orangnya kuat agama dan juga old school. Kalau katanya tidak, maka tidaklah.
“Kebetulan masa dilamar menjadi penyanyi saya baru belasan tahun dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya juga anak bongsu dalam lapan adik beradik. Perempuan pula. Jadi tentu sekali ayah saya akan menolak kalau saya minta kebenaran untuk jadi penyanyi.
“Tapi mungkin memang sejak awal sudah tertulis masa depan saya ada dalam bidang ini. Saya pun tak sangka selepas beberapa kali cuba meyakinkan akhirnya ayah saya membenarkan walaupun mungkin ketika itu arwah agak keberatan,” katanya.
Sheila tidak pernah bercita-cita untuk menjadi penyanyi. Namun beliau mengakui cukup teruja apabila menerima peluang untuk masuk studio dan melalui sendiri proses rakaman suara.
Namun beliau sedar, tanpa persetujuan orang tua lebih-lebih lagi ayahnya, hasrat tersebut mungkin terkubur begitu sahaja.
“Saya cuba pujuk beliau, katakan kepadanya mungkin tidak rugi saya cuba kerana kebetulan saya pun ada banyak masa terluang ketika itu.
“Setelah berjaya memujuk, arwah akhirnya membenarkan kerana beliau mungkin merasakan tidak salah saya melakukan sesuatu sementara menunggu keputusan SPM. Bukan mudah untuk mendapatkan kebenaran arwah. Ketana itu saya susun strategi.
“Saya pun sebenarnya menerima tawaran itu beberapa bulan lebih awal, tapi saya minta pihak rakaman beri masa sampai tamat peperiksaan untuk saya pujuk ayah saya.
“Bila ayah masa itu memberi kebenaran, maksudnya beliau hanya benarkan rakam lagu sahaja. Saya pun masa itu tidak terfikir sampai mahu jadi penyanyi terkenal. Memadai suara keluar dalam kaset.
“Apa yang saya capai sepanjang empat dekad ini semuanya sudah ditentukan Allah. Saya hanya mampu ucapkan Alhamdulillah atas semua ini,” kongsinya.
BERTAHAN KERANA CINTA

“Tiada rahsia untuk dikongsikan. Saya bertahan pun sebab minat dan rasa cinta terhadap bidang nyanyian.”
Demikian jawapan Sheila apabila diasak dengan pertanyaan mengenai kelangsungan karier nyanyiannya.
Kata Sheila, tanpa minat, beliau mungkin tidak meneruskan nyanyian sehingga empat dekad.
“40 tahun itu tempoh yang lama. Untuk bertahan memang penat. Tambah pula usia saya sekarang sudah memasuki angka 60 tahun.
“Tapi saya dapat teruskan kerana minat dan keseronokkan kepada bidang ini. Saya ini amat bertuah kerana berpeluang mencari rezeki dalam bidang yang saya cintai.
“Saya tidak pernah menganggap kerja ini membebankan, malah saya seronok dan tidak sekalipun rasa terpaksa melakukannya.
“Dan saya tidak pernah lupakan peminat. Disebabkan mereka jugalah saya bertahan sampai sekarang,” jelasnya.
MENGEJAR KEBERKATAN
Dalam meneruskan kerjaya nyanyian, ibu dua cahaya mata ini sentiasa mengintai keredaan dan keberkatan Ilahi atas hasil pendapatan yang diterimanya.
Katanya, tiada perkara lain yang dikejarkan, selain meneruskan minat selain mendapat keberkatan dalam pekerjaan.
“Saya selalu berdoa, minta Allah buka pintu rezeki yang lain jika kerja saya ini tidak mendapat keredaannya. Saya pun tak tahu sama ada kerjaya ini berkat atau tidak.
“Tetapi karier saya ini semakin lama semakin berkembang maju. Saya tak pernah putus berdoa untuk minta Allah halalkan pendapatan saya dalam bidang nyanyian ini. Alhamdulillah, saya sentiasa dekat dengan Allah.
“Saya memang ikhlas menjadi penyanyi, tidak pernah fikir mahu popular atau kejar glamor. Niat saya meneruskan karier ini adalah untuk mencari rezeki.
“Alhamdulillah, setiap minggu saya terima tawaran menyanyi di majlis korporat dan tertutup. Itu punca pendapatan saya sekarang ini,” jelasnya.
MERAIKAN EMPAT DEKAD

NOTA
IMBASAN
19 MAC 2006
KOSMO
MUKA 18
Penyanyi yang mendapat julukan Ratu Jazz Negara ini mengajak peminat meraikan pencapaian 40 tahun kerjaya seninya menerusi sebuah konsert istimewa yang bakal dipentaskan di Axiata Arena Bukit Jalil.
Memilih 8 November sebagai tarikh penganjuran, Sheila menjanjikan persembahan istimewa yang bakal mencipta nostalgia bersama pencintanya.
“Saya sendiri pun tak sangka yang saya akan menyanyi sehingga 40 tahun.
“Jadi rasanya kenapa tidak pencapaian ini saya raikan bersama peminat menerusi sebuah konsert istimewa
“Besar maknanya konsert ini untuk saya. Ia adalah untuk meraikan pengalaman jatuh bangun yang saya timba bersama peminat dan mereka yang saya kenali,” katanya.
Bercerita lanjut, Sheila mengakui bukan mudah seorang penyanyi berusia 60-an sepertinya beraksi dalam sebuah konsert yang ditonton ribuan peminat.
Kerana itu, penyanyi yang tiada galang gantinya ini tekad memperbaiki tahap kecergasan untuk memberikan persembahan bertenaga di konsert itu nanti.
“Persiapan sebenarnya sudah pun bermula. Saya memang sejak dulu konsisten bersenam. Mungkin saya perlu tingkatkan lagi aktiviti kecergasan sebelum konsert nanti.
“Saya ini pun sudah berusia, untuk menyanyi hampir tiga jam bukan kerja mudah. Insya-Allah saya boleh dengan persiapan lebih awal,” jelasnya.