CIK Bunga terpanggil hendak penyanyi muda dalam industri hiburan, Irfan Harris.
Kalau dengar nama tu, mesti ramai yang akan terfikir, ‘Eh, ini adik Amira Othman?’ Ya betul. Penyanyi ini yang Cik Bunga maksudkan.
Cik Bunga perhatikan, sejak kakaknya mula popular dengan kisah hubungan ‘rapatnya’ dengan pelakon sensasi, Fattah Amin, Irfan ini pun seakan seronok tumpang ‘glamor’ sama.
Cik Bunga rasa kerap kali juga kalau dia buat live di TikTok, mesti turut sama ‘menjual’ kisah
kakaknya ketika berinteraksi dengan peminat.
Tapi Cik Bunga faham, kalau peminat tanya
di ruangan live itu, tak akanlah dia tak jawab pula bukan? Tetapi bagi Cik Bunga, sekali dua
okeylah.
Ini nampak macam sudah kerap sangat ‘ menunggang’ kisah kakaknya dengan Fattah.
Tidak cuma Cik Bunga, segelintir warganet lain pun perasan akan perkara ini.
Dan dalam diam, ada pula suara-suara sumbang yang mula mempersoalkan, Irfan ini betul-betul mahu naik sebab bakat sendiri atau dia sekadar ‘menumpang’ aura populariti Amira yang sedang mencanak naik pada waktu ini?
Cik Bunga faham sangat perasaan jadi adik kepada selebriti. Apa yang kita buat, orang akan bandingkan. Mahu berdiri sendiri itu bukan mudah.
Tetapi pada masa sama, tidak dapat dinafikan, nama Amira Othman itu ada kekuatan tersendiri terutama apabila sekarang sudah semakin popular bersama Fattah.
Jadi, mungkinlah Irfan pun gunakan peluang sekarang sehabis baik.
Tapi, Cik Bunga tidak suka cepat buat kesimpulan. Kalau kita tengok Irfan betul- betul, bakat itu memang ada.
Suara pun sedap, pembawaan pun matang, malah, setakat ini, dia pun belum lagi buat kontroversi melampau. Sopan, low profile, kiranya boleh pergi jauh kalau kena gaya.
Cuma Irfan, satu pesanan manja dari Cik Bunga, jangan terlalu selesa dalam bayang-bayang kakak sendiri.
Nama kakak itu mungkin pintu, tapi yang akan bawa Irfan masuk dan terus berjalan dalam industri ini adalah usaha Irfan sendiri.
Kalau hendak orang kenal sebagai Irfan Harris, seorang penyanyi berbakat dan bukan ‘adik Amira Othman’, awak kenalah kerja keras, berkarya konsisten, dan bijak jaga imej.
Apa-apa pun, Cik Bunga doakan Irfan terus sukses dan mampu berdiri dengan nama sendiri.