Straw ; Ketika kita tak pernah bertanya khabar - Utusan Malaysia

Straw ; Ketika kita tak pernah bertanya khabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI judulnya Straw, Tyler Perry cuba merangkum filemnya daripada pepatah Inggeris berbunyi the last straw. Ia bermaksud titik kesabaran paling akhir, batas ketabahan paling hujung selepas kesialan datang bertindan-tindan.

Tyler sekali lagi meletak kepercayaan kepada Taraji P. Henson (calon pemenang Oscar Pelakon Pembantu Terbaik 2008) sebagai penggerak utama.

Taraji memerankan ibu tunggal,yang harus membanting tulang ambil dua kerja sekali gus demi memelihara anak kesayangan, Aria yang sakit.

Ubat-ubatan bukan murah, duitnya tetap ‘bocor’ ketika sawan anak menyerang membuatnya harus menunda sewa rumah atau membayar wang makan anak.

Saya teringat kata-kata daripada seorang pengarah Malaysia yang disegani, U-Wei berkata bahawa hidup ini hanyut.

Kita kena belajar melupakan dan dilupakan. Walaupun U-Wei berkata itu ketika bercakap tentang situasi jika dia sudah tiada.

Tapi saya tertarik dengan refleksi bahawa hidup ini hanyut. Ia deras, laju dan selalu beralih.

Begitu juga Janiyah dan komuniti masyarakat yang tinggal di dekatnya. Hidup mereka hanyut, segalanya laju.

Hidup sendiri cukup membebabkan membuatkan mereka tidak sempat ambil kisah tentang kehidupan orang lain.

Syot awal filem ini menunjukkan keadaan rumah huru-hara dengan mi segera yang masih tersisa di pinggan.

Mungkin Janiyah tak mampu membeli sebuku roti atau spageti. Tapi, ada sesiapa yang bertanya khabarnya?

Majikannya, Richard tidak pernah bertanya apa yang membuatkan Janiyah lewat ke kerja. Dia hanya tahu membebel, begitu juga pelanggan yang tiba-tiba melempar botol kaca kepadanya.

Janiyah menjalani hidup yang hanyut ini sendirian, tanpa ada tangan yang memaut atau tebing untuk kembali berenang agar diri tak mati tenggelam.

Deras hidup yang menghanyutkan ini mungkin sedikit perlahan jika dia bertemu lebih banyak orang yang mahu bertanya khabar seperti Detektif Raymond atau Nichole.

Mereka mahu memahami perseteruan dalam kepada Janiyah. Memang Janiyah terbata-bata pada awalnya, namun seperti konsep intersubjectivity, Janiyah membuka hati membina percaya.

Empati dalam teori yang disuguhkan Husserl membuatkan kita harus menebas segala ego untuk mendalami hati dan pengalaman orang lain.

Tapi mungkin Janiyah, Raymond dan Nichole lebih cepat ‘melekat’ kerana masing-masing berkongsi pengalaman lebih kurang sama.

Nichole seorang ibu manakala Raymond berpengalaman dibesarkan seorang ibu yang tidak mempunyai sesiapa melainkan cinta dan kasih kepada anaknya.

Dia kenal rasa kosong itu. Namun paling mustahak, kedua-dua mereka mahu bertanya khabar seorang Janiyah yang nampak sedang takut dan keliru.

Plot Straw terutama di act ketiga banyak membuatkan saya berkerut kerana ada perkara yang nampak tidak masuk akal.

Tapi saya cuba membaca nawaitu mengapa karakter Janiyah dihidupkan. Dalam celaru dan kusut seorang ibu, ada rindu yang ditanggung lebih daripada termampu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN