SUDAH lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia muzik tanah air dan menghasilkan lebih seratus buah lagu sepanjang kerjaya. Daripada jumlah itu pula, tidak sedikit lagu ciptaan Amylea Azizan yang mencipta fenomena melihat kepada rezeki Kendati, Kesumat, Pudar, Tetap Kamu, Bukan Cinta, Kertas, Seribu Tahun Lagi dan Raya Nak Ke Mana? (sekadar menyenaraikan beberapa).
Oleh itu, wajar sahaja komposer yang mendapat julukan Ratu OST ini terguris menerima soalan ‘lepas Akademi Fantasia, awak buat apa sekarang?’ seolah-olah menguburkan kerja keras dan pencapaiannya selama ini.
Bagaimanapun Amylea akur sekiranya keberadaannya sebagai penyanyi masih samar-samar memandangkan kali terakhir dia bernyanyi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) adalah pada tahun 2019 menerusi lagu Tak Pernah Hilang.
Sudah tentu beberapa penyanyi merasakan AJL adalah platform penting untuk menunjukkan kepada peminat bahawa kerelevanan seorang artis. Namun begitu ada konflik dalaman yang melanda artis independen sekali gus membantutkan hasrat mereka untuk ke pentas besar itu. Jawablah Amylea Azizan!
J: Ramai yang menantikan kemunculan Amylea di pentas AJL, ada perancangan untuk ‘comeback’ ?
A: Mungkin orang luar tidak tahu, untuk sampai ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ada syarat-syaratnya. Mereka akan ambil tahu segalanya tentang lagu itu, dari mana ia datang.
Saya tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk berada di pentas AJL. Seseorang artis itu perlu habiskan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 ribu. Ada juga yang berhabis sehingga 100 ribu untuk ke AJL. Sebagai artis independen, saya tidak rasa mampu.
AJL memerlukan sesuatu lagu itu diundi dan popular. Saya perlu ada kelab peminat yang kuat dan dana untuk melakukan promosi. Tidak semua peminat juga boleh mengundi. Jika lepas ke pentas akhir, adakah saya cukup duit?
J: Melihat kepada situasi ini, adakah awak terkilan kerana tidak cukup dana menghambat impian awak menyanyi di pentas lebih besar?
A: Saya sudah lama terima keadaan ini. Mungkin AJL bukan segalanya. Ramai lagi penulis lagu yang lama-lama tidak pernah mendapat penghargaan yang sepatutnya semasa mereka hidup. Jadi, mungkin itu terjadi bila saya sudah tiada. Tidak mengapa.
Bila saya fikirkan balik, semua yang saya buat ini pun hanya pinjaman sahaja. Bila saya mati esok, semua ini akan saya tinggalkan. Sebab itu saya ingatkan diri saya untuk berhati-hati dalam berkarya.
J: Sebagai penyanyi dan komposer, apakah perkara yang paling memberi kepuasan kepada awak?
A: Saya akan selalu berikan yang terbaik dalam kapasiti sebagai penulis lirik dan komposer untuk menghasilkan sesebuah karya buat artis. Mungkin dengan usaha daripada pihak pengurusan dan label artis tersebut, lagu itu akan terbang lebih jauh.
Ada yang minta saya buat lagu untuk artis tertentu, tapi peminat perlu faham dalam seni pembuatan lagu ada kos dan akad pinangan tersendiri. Bila saya tulis lagu, memang saya akan reka secara spesifik untuk artis tersebut. Ada projek tergendala melibatkan nama besar tapi saya tidak serahkan lagu itu kepada orang lain.
Cuma saya terharu apabila ada peminat artis tertentu mesej memuji lagi saya. Ada pula yang minta saya kongsi demo asal lagu tersebut. Antaranya peminat Imran Ajmain, Ernie Zakri dan Shila Amzah.
J: Selepas ini apa lagi impian dan hasrat yang ingin awak capai
A: Sebelum ini saya juga pernah tulis lagu bukan hanya balada tetapi banyak lagi genre lain seperti hip hop dan Rnb. Bukan hanya artis arus perdana tapi juga band independen. Saya bersyukur kerana diberikan bakat untuk menulis pelbagai genre lagu termasuk tradisional. Cuma saya tidak dapat banyak permintaan untuk lagu genre begitu. Tapi bila ada sahaja permintaan, saya memang mahu lakukannya.
Terkini saya sedang buatkan lagu dengan seorang legenda yang tidak boleh saya sebutkan lagi namanya. Saya sangat teruja untuk lagu ini. Nantikan ya.