Sisi yang membuat ramai sayang - Utusan Malaysia

Sisi yang membuat ramai sayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini genap 32 tahun Ning Baizura bergelar penyanyi. Tempoh itu bukan sekejap, lama perjalanannya.

Sepak terajang dunia seni ibarat makanan buat penyanyi bergelar diva ini. Karier nyanyiannya tidak sunyi dengan kontroversi.

Malah sepanjang pembabitan, pelbagai kontroversi mendampingi pemilik nama penuh Ning Baizura Sheikh Hamzah ini.

Tidak usahlah diungkit cerita-cerita ‘panas’ yang melatari nama penyanyi lagu Awan Yang Terpilu ini.

Segala tohmahan, kejian serta cacian puas dihadam ibu seorang cahaya mata ini apatah lagi dalam era kerancakkan media sosial kini.

Seperkara tentang Ning, semangatnya seteguh karang. Jatuhlah seribu penghinaan sekalipun, tidak sekalipun dia menyerang balas.

Dan mungkin asbab itu Allah aturkan perjalanan lebih indah buatnya. Penyertaan dalam Gegar Vaganza lalu membuka mata ramai pihak, menimbulkan rasa kasih dan sayang kepada diva terunggul seorang ini.

Masyarakat kini menerima Ning seadanya dia, tidak lagi melihat dia seorang penyanyi yang kebaratan gaya hidupnya. Ning yang sebenarnya punya banyak sisi yang disenangi ramai orang.

“Saya bersyukur kerana ramai pihak yang terbuka mata mengenai siapa saya yang sebenarnya. Bila mereka kenal, mereka nampak perangai sebenarnya saya yang bukan seperti mereka andaikan.

“Seperkara tentang saya, apa yang anda nampak, itulah yang anda dapat. Orang kini nampak sifat sebenar saya yang lucu, baik dan menyenangkan.

“Mungkin ramai yang salah anggap tentang saya. Tak mengapalah, mungkin sebab mereka tak kenal saya yang sebetulnya. Saya pun tak pernah berkecil hati, kerana masih ada yang sayang.

“Tapi sekarang mereka nampak. Saya bersyukur, sebab kalau orang tak melihat Ning Baizura yang sebenarnya, sampai bila pun saya akan disalah anggap,” katanya.

Benarlah peribahasa tak kenal maka tak cinta. Keterbukaan Ning di media sosial menjadi jambatan yang membuka ‘hijab’ terhadap sisi positifnya.

“Saya bersyukur kerana media sosial menjadi platform untuk masyarakat kenal saya. Mungkin sebelum ini saya kurang mengambil perhatian tentang perkara ini. Tapi sekarang mula ada kesedaran mengenainya.

“Saya manfaat media sosial dengan sebaiknya. Kerap juga saya bersiaran langsung agar saya menjadi lebih dekat dengan peminat.

“Saya gembira kerana orang nampak keikhlasan saya dan saya tak perlu berpura-pura pun, cukup menjadi diri sendiri,” katanya.

SAIZ PENTAS BUKAN PENENTU

Pernah juga saya terdengar bisik-bisik peminat, sampai bila Ning Baizura mahu menyanyi di kelab malam?

Di mata segelintir pihak, Ning Baizura berdiri pada aras tersendiri. Sepatutnya bintangnya bersinar di atas pentas berprestij dan lebih gah.

Bila disoal mengenai perkara ini, Ning mempertahankan pendirian.
Baginya, tidak kisahlah di mana sekalipun pentas seorang penyanyi itu membuat persembahan, yang penting adalah nilai dan momen bersama peminat.

Ning tidak pernah menyesal menyanyi di kelab malam dan tak pernah merasakan standardnya jatuh kerana menyanyi di tempat-tempat begitu.

“Malah saya mengintai lebih banyak peluang untuk membuat persembahan ditempat-tempat sebegitu.

“Mungkin ramai yang tak tahu, kelab malam, Bobo KL contohnya, menyediakan sistem bunyi dan akustik yang dahsyat. Yang pernah ke sana, tahulah perkara itu.

“Dan yang paling mahal adalah engagement dengan peminat ketika menyanyi di tempat-tempat sebegitu. Disebabkan jarak terlalu dekat, saya dapat rasakan tenaga dan emosi mereka yang melihat nyanyian saya.

“Sebenarnya, tak kisahlah, kelab malam atau stadium, pentas kecil atau besar. Yang penting momen bersama peminat,” jelasnya.

Kata Ning lagi, dia menganggap membuat persembahan di pentas-pentas kecil sebagai tindakan berani yang mendatangkan seribu satu kepuasan.

“Sudah 32 tahun saya menyanyi. Pelbagai jenis pentas saya kuasai.

“Tapi saya sanggup bermula dari bawah. Alhamdulillah, sepanjang jadi penyanyi, banyak perkara yang saya pelajari.

“Yang paling menyentuh adalah peminat. Sokongan tak berbelah bahagi mereka. Saya nyanyi di stadium atau kelab malam, mereka tetap datang memberi sokongan,” katanya.

KONSERT

Lama peminat menantikan vokalis bernada soprano ini mengadakan konsert solo. Itu hasrat pencinta Ning yang masih belum terlunas.

Semestinya dia memasang impian untuk mengadakan konsert. Dan itu juga menjadi perancangan yang diberi perhatian diva terunggul ini.

“Ya, sudah masanya saya fikirkan tentang konsert. Kalau tidak tahun ini, mungkin tahun depan.

“Semua ini untuk peminat. Mereka ibarat tulang rusuk saya. Ketika GV, merekalah yang setiap minggu datang memberikan sokongan, siap bawa makanan pula.

“Peminat ini sudah macam keluarga. Jadi saya mesti tunaikan hasrat mereka (konsert).

“Cuma saya harapkan doa peminat. Harap ada rezeki untuk saya melakukan konsert besar. Tambah pula sudah lebih 32 tahun saya jadi penyanyi. Mesti ada konsert,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya