Keunikan penampilan pelakon dan model, Haneesya Hanee sering menjadi tumpuan dalam kalangan orang ramai. Melihat pada personalitinya sahaja sudah cukup menggambarkan dia seorang wanita yang berkarisma.
Sudah menjadi lumrah seorang model, penjagaan kecantikan dan fesyen itu adalah rutin hariannya yang wajib untuk dilakukan demi memastikan imejnya kekal segar di mata umum.
Namun, pelakon yang berusia 25 tahun itu mengakui dirinya lebih suka mengamalkan rutin yang ringkas dan mudah terutamanya melibatkan penjagaan kecantikan wajah.
“Saya bukanlah seorang yang begitu minat untuk melawa dan berfesyen pada awalnya. Saya seorang yang sangat ‘simple’. Saya jarang bersolek, jika mahu bersiap pun kebiasaannya saya bersolek nipis sahaja.
“Antara sebab saya begitu kerana suatu ketika dahulu orang ramai sering memandang rendah kepada golongan yang berkulit gelap. Bahkan, pilihan warna untuk ‘foundation’ pun terhad dan kebanyakannya membuatkan saya nampak kelabu.
“Melihat perubahan industri fesyen dan kecantikan yang semakin menerima golongan berkulit gelap ini, barulah saya mula meminatinya,” katanya kepada Pancaindera.
Mengulas tentang kecantikan dan fesyen, ramai yang menyangka mereka perlu berbelanja barangan berjenama dan mahal sahaja supaya kelihatan bergaya.
Namun, pelakon drama Dia Imamku itu berpendapat untuk kelihatan bergaya dan cantik tidak semestinya perlu berbelanja barangan yang mahal kerana keutamaannya adalah keselesaan.
“Kecantikan dan fesyen itu tidak semestinya perlu mahal. Saya sendiri masih membeli pakaian harian saya di pasar malam. Saya sering memilih keselesaan berbanding nampak bergaya walaupun pergi ke pusat membeli-belah.
“Sekiranya ada sebarang acara, itu memang saya perlu menjaga penampilan saya sebagai seorang model. Begitu juga dengan barangan kosmetik, sekarang ini banyak produk yang kualitinya setanding dengan produk yang mahal atau ‘dupe’.
“Untungnya zaman sekarang ini, kita boleh membuat rujukan di banyak platform seperti Google, TikTok dan sebagainya untuk mendapatkan pandangan atau tips mengenai industri ini. Tetapi bagi saya, saya lebih suka membeli produk yang berkualiti dan klinikal,” kongsinya.
Sedar tidak semua orang mampu berbelanja lebih untuk menjaga kecantikan diri, Haneesya turut mendedahkan dirinya juga masih mengamalkan cara tradisional di rumah yang lebih jimat dan berkesan.
“Menarik tentang rutin penjagaan kecantikan ini, kita sebenarnya tidak perlu pun keluarkan duit kerana bahan-bahan semula jadi yang ada di rumah pun boleh digunakan.
“Cara ini juga membantu mereka yang mungkin tidak mampu kerana harga untuk membeli bahan-bahan itu pun mesra poket.
“Bayangkan, telur pun kita boleh dijadikan sebagai mask muka. Saya yakin setiap perkara ada alternatifnya, malah saya sendiri lebih suka untuk melakukannya secara DIY kerana lebih murah dan berkesan,” jelasnya.
Meskipun ada sesetengah pihak yang menjadikan warna kulitnya sebagai bahan ejekan, namun keyakinannya tetap menjadi inspirasi ramai wanita.
Kata Haneesya, perubahan industri fesyen dan kecantikan ini membuatkan ramai orang semakin terbuka dan menerima golongan berkulit hitam manis sepertinya.
“Menariknya tentang kecantikan dan fesyen ini, dia boleh buat seseorang itu menjadi lebih kreatif mengikut personaliti masing-masing. Jadi, kita boleh ekspresikan diri kita melalui penampilan kita.
“Saya sangat kagum apabila industri ini sudah semakin berubah dan membaik di Malaysia serta tidak berada di takuk yang lama. Saya juga perasan, ramai yang sudah mula menjadikan saya sebagai rujukan, terutamanya mereka yang berkulit gelap.
“Saya sangat berbesar hati untuk berkongsi tips sebegini dengan orang ramai sebab saya rasa peranan saya di sini juga untuk berikan sesuatu kepada masyarakat. Mungkin saya tidak berduit, tetapi saya boleh sumbang ilmu tentang kecantikan dan fesyen,” ujarnya.