Kalau tiada duit, dermalah darah - Azhan Rani - Utusan Malaysia

Kalau tiada duit, dermalah darah – Azhan Rani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagai satu dalam sejuta, bukan mudah untuk seseorang itu menggadaikan sebahagian daripada nyawanya demi menyelamatkan mereka yang benar-benar memerlukan.

Ada orang, menderma wang ringgit untuk membantu meringankan beban seseorang yang hidupnya susah. Berbeza pula dengan pelakon versatile, Azhan Rani apabila dirinya menderma darah demi menyelamatkan nyawa orang lain.

“Setakat ini, saya sudah menderma 109 kali dan saya kategori penderma darah eferesis. Maksudnya eferesis ini saya dermakan darah plasma dan platelet, bukan darah merah.

“Jadi kekerapan yang saya boleh buat adalah dua minggu sekali berbanding dengan penderma darah merah, tiga bulan sekali,” katanya kepada Pancaindera.

Menurut Azhan, dia pernah menyaksikan insiden pedih yang dilalui sebuah ahli keluarga kerana tidak dapat menyumbang darah mereka kepada seorang bapa yang sedang sakit sekali gus memberi tamparan hebat buat dirinya.

“Perkara ini menyedarkan saya sewaktu saya menjaga arwah bapa di hospital dan ternampak ada satu keluarga di depan katilnya sedang bersedih sebab bapa mereka perlukan darah.

“Tapi ahli keluarga dia seorang pun tidak layak menderma. Satu kerana kesihatan dan darah tidak sesuai. Pada masa itu juga stok bekalan darah agak kurang. Jadi darah ini bukan boleh dibeli walaupun kita ada duit.

“Sekaya mana pun kita, dia hanya mengharapkan ihsan penderma sahaja. Jadi, di situ saya terfikir kalau saya dalam situasi mereka macam mana? Jadi saya pergi ke Pusat Darah Negara dan mula menderma,” jelasnya.

Meskipun sudah biasa menderma darah, pelakon drama Seribu Tahun itu memberitahu dirinya tetap menjalani ujian saringan sebelum prosedur seterusnya dijalankan.

“Di Malaysia, kita boleh derma darah sehingga usia 70 tahun. Walaupun saya sudah banyak kali menderma darah, saya masih perlu melalui proses saringan daripada doktor setiap kali ke sana.

“Mereka akan periksa gaya hidup kita, darah dan kesihatan kita. Baru kita layak untuk beri darah kita kepada orang. Dulu saya pernah ada masalah haemoglobin yang rendah.

“Doktor nasihatkan saya untuk pantau pemakanan dan elak mengambil makanan atau minuman yang boleh menyebabkan haemoglobin rendah seperti teh dan kopi. Selepas lapan bulan berhenti bila minum teh dan kopi, bacaannya sudah cantik,” kongsinya.

Sebelum ini, pelakon yang berusia 49 tahun itu pernah meluahkan rasa kesal kerana tidak ramai yang cakna dengan jumlah beg darah yang terkumpul di Pusat Darah Negara.

Bagaimanapun, dia turut menyifatkan amalan menderma darah ini juga mampu memberi kebaikan terhadap kesihatan penderma biarpun dalam usaha untuk membantu nyawa orang lain.

“Satu beg darah mampu selamatkan tiga nyawa. Mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan orang ramai kurang cakna dengan kebaikan menderma darah ini. Ada yang beranggapan kita bantu orang tetapi tidak membantu diri sendiri.

“Tetapi tidak, lebih banyak kita menderma darah, lebih mudah ia membantu tubuh badan kita menjadi lebih sihat. Lagi pula, bukan semua orang layak untuk menderma darah.

“Salah satu keistimewaan yang saya dapat lebih-lebih lagi saya penderma darah eferesis, saya dapat menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat derma darah secara percuma.

“Darah saya akan dibawa ke makmal. Alhamdulillah, sekarang kolesterol dan kandungan asid uric saya juga stabil,” katanya.

Sementara itu, Azhan turut menggalakan orang ramai untuk mula menderma darah kerana usaha menyelamatkan nyawa itu lebih bernilai dari wang ringgit.

“Menyelamatkan nyawa itu satu perkara yang sangat besar nilai dia. Kalau tidak ada duit, pergilah derma darah. Nikmat kesihatan yang sementara ini juga adalah perkara yang boleh kita sumbangkan malah lebih bermakna daripada duit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN