Pada era ini, melancong adalah antara aktiviti yang paling digemari ramai kerana dapat meneroka keindahan alam semula jadi, budaya dan makanan tradisi destinasi yang dikunjungi.
Malah, aktiviti itu juga sering dijadikan sebagai ganjaran untuk diri sendiri atau ‘self reward’ bagi mereka yang gemar bercuti di luar negara selepas bertungkus-lumus bekerja.
Seperti Qystinna Istajibilla Dowanna Halim atau Bella Dowanna, dia menganggap melancong sebagai salah satu cara untuk dirinya ‘healing’ pada waktu lapang.
“Saya suka melancong. Pergilah ke mana sahaja dengan menaiki kapal terbang atau pun keretapi saya okay saja. Saya suka teroka benda baru di tempat baru.
“Sekiranya kena pada waktunya, bila saya ada masa lapang saya akan pergi ke konsert. Saya juga sukakan muzik dan persembahan secara langsung. Saya suka suasana untuk menikmati muzik bersama kawan-kawan dan penonton yang lain,” katanya kepada Pancaindera.
Jauh perjalanan luas pengalaman, pelakon berusia 22 tahun itu mengakui melancong dapat mengajar dirinya untuk menghargai serta mendalami budaya di negara yang dikunjungi.
Dalam masa sama, dia juga dapat mengenali penyanyi serta lagu-lagu hits di negara tersebut sekiranya berpeluang untuk pergi ke konsert di tempat percutian itu.
“Pada saya, melancong boleh mengajar saya menghormati budaya dan adat negara lain. Saya boleh belajar bahasa baru, budaya baru dan persekitaran baru.
“Jika ada konsert, seperti festival, ada barisan penyanyi yang saya baru kenal, saya dapat dengar lagu genre baru. Lagu-lagu baru yang saya tidak pernah dengar dan saya juga dapat mengenali band atau penghibur baharu,” katanya.
Tambahnya, minat melancong itu sudah dipupuk oleh keluarganya sejak kecil memandangkan mereka juga kerap ke luar negara bersama.
“Saya suka melancong sudah lama. Bermula dari melancong bersama ibu bapa dan keluarga. Tetapi sekarang saya sudah agak dewasa dan saya bekerja sendiri, jadi saya seronok melancong sendiri atau bersama kawan-kawan,” jelasnya.
Sementara itu, Bella turut berpendapat bahawa kerjayanya sebagai pelakon juga sering mendorongnya untuk lebih kerap melancong kerana didedahkan di pelbagai tempat dan lokasi penggambaran yang menarik.
“Kadang-kadang, pekerjaan saya yang membawa saya ke tempat-tempat menarik. Jadi, saya boleh bekerja sambil melancong.
“Sekiranya jadual kerjanya terlalu padat, saya akan cari masa yang sesuai untuk pergi bercuti panjang,” kongsinya.
Meskipun bercuti di negara orang itu perkara yang paling menyeronokkan, tidak dapat dinafikan aktiviti tersebut juga mempunyai cabarannya terutamanya, dari segi kos perbelanjaan.
Kata Bella, dia sering mengumpul wang ringgit secukupnya sebelum bercuti supaya dapat menikmati percutiannya dengan tenang tanpa sebarang masalah.
“Untuk konsert, yang mencabarnya nak cari tempat letak kereta sahaja. Untuk melancong, mencabarnya dari segi kewangan. Saya kena kumpul duit untuk hobi itu.
“Ada saja yang cakap, nak melancong ini tak perlu banyak duit pun jika pandai membuat kira-kira. Ya, saya sokong. Tetapi untuk saya secara peribadinya, saya lebih berhati-hati kerana tidak mahu berada dalam situasi yang tidak dapat dijangka.
“Contohnya, sekiranya saya tidak cukup duit belanja dan sebagainya. Saya sentiasa bersiap sedia untuk setiap perkara,” ujarnya.