Perjuangan panjang industri tarian Korea Selatan - Utusan Malaysia

Perjuangan panjang industri tarian Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBINCANGAN mengenai pendaftaran hak cipta untuk tarian sudah berlangsung sangat lama di Korea Selatan. Semuanya bermula pada tahun 2014, disuarakan oleh koreografer veteran negara itu antaranya Park Sang-hyun, Kim Hee-jong dan Go Yoon-young.

Mereka menyenaraikan masalah yang dihadapi koreografer antaranya jumlah bayaran, idea tarian diplagiat serta kebajikan mereka di hari tua.

Sejak sedekad lalu, ada banyak cerita mengenai industri tarian Korea dibincangkan. Contohnya seperti Lee Ju-sun, seorang koreografer yang mencipta tarian koboi terkenal, PSY menerusi lagu Gangnam Style.

Walaupun lagu berkenaan meletup, namun tiada undang-undang di negara itu yang mewajibkan sebahagian royalti dibayar untuk pencipta tarian berkenaan.

Namun begitu, Lee bersyukur kerana PSY bermurah hati memberikan bonus kepadanya selepas lagu itu meledak.

Tetapi kerjaya koreografer akan semakin malap sebaik sahaja umur mereka menjelang 40-an kerana faktor tenaga dan usia. Oleh itu, satu-satunya yang boleh menjamin kehidupan mereka di hari tua ialah royalti selama mana tarian itu digunakan penyanyi.

Mereka meminta Persatuan Penari Korea Selatan lebih lantang mewakili suara mereka seperti yang dilakukan Persatuan Hak Cipta Muzik Korea Selatan memperjuangkan nasib pemuzik mereka.


Garis panduan baru

Kini, industri tarian Korea Selatan kembali mencuri perhatian selepas isu saman menyaman terbesar negara itu terjadi membabitkan syarikat gergasi HYBE dan Min Hee-Jin.

Min yang juga ketua pegawai eksekutif ADOR, mendakwa kumpulan ILLIT, di bawah agensi Belift Lab telah melakukan plagiat terhadap tarian yang dilakukan artis mereka iaitu NewJeans.

Perkara tersebut merupakan isu besar di Korea Selatan lebih-lebih lagi kedua-dua kumpulan tersebut sedang mencuri tumpuan dan mempunyai peminat yang ramai.

Dakwaan Min tersebut telah mencipta pertelingkahan dalam kalangan peminat sehingga melakukan jenayah buli siber kepada semua ahli ILLIT.

Insiden itu membuatkan Persatuan Penari Korea Selatan digesa untuk mengkaji semula kelompongan undang-undang dalam kandungan video muzik artis di Korea.

Mereka juga diminta untuk menghasilkan standard prosedur baru dalam menentukan adakah tarian itu disifatkan plagiat atau sekadar diinspirasikan daripada tarian yang pernah dihasilkan.

Perkara ini bukan sahaja dapat mengelak daripada berlakunya pelanggaran hak cipta idea tarian, malah memberikan kredit yang sewajarnya kepada pencipta asal tarian berkenaan.

Gesaan itu disambut baik oleh pihak kerajaan dan dijangka mengeluarkan sebuah garis panduan baru terhadap penghasilan tarian dan kandungan video muzik. Semua agensi bakat di Korea Selatan akan dipanggil dan menandatangani persetujuan undang-undang tersebut tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya