“Banyak perkara sia-sia saya lakukan dahulu…” - Utusan Malaysia

“Banyak perkara sia-sia saya lakukan dahulu…”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAJAK pemilik nama penuh Muhammad Hairi Amin Hamdan ini membuka cerita tentang kehidupan peribadinya bukan satu tugas mudah sebenarnya. Dia lebih senang dengan ketetapan privasi dan rahsia.

Lantaran itu, ketika sesi temu bual ini mula menghitung detik mula, dia tampak canggung dan mencuba sebaik mungkin menyusun kata tanpa menumpahkan apa-apa yang boleh membuka cerita lain.

Namun hakikatnya, pemilik nama pentas MK ini jujur dalam setiap tutur kata. Tidak terlalu berselindung, namun ada batasnya. Lantas membunuh persepsi yang kononnya dia sukar untuk diajak berbual.

Melihat ketenangan, saya lontarkan terus soalan pertama; Sukarkah untuk kekal istiqomah dalam mencari jiwa sebenar dan prinsip hidup berlandaskan agama? Sedangkan umum mengetahui betapa ‘nakal’ seorang MK satu ketika dahulu.

“Banyak perkara sia-sia yang saya telah lakukan dahulu. Untuk menjadi yang lebih baik, banyak perkara yang saya korbankan. Tetapi pengorbanan itu sesuatu yang berbaloi. Detik ini, saya hanya mahukan kebaikan.

“Untuk menjadi diri saya sekarang, saya perlu ‘buang’ perkara yang hakikatnya tidak membantu saya. Semestinya, apa yang saya lakukan itu memberi impak bukan sahaja kepada hidup, persahabatan dan banyak aspek lain.

“Susah memang susah, tetapi sampai bila saya mahu hidup dalam sesuatu yang sia-sia? Bukan hendak kata saya baik, tetapi ketika ini, saya mencuba untuk memperbaiki diri hari demi hari,” kongsinya.

Tidak lekang dari bibir, bagaimana perkahwinan yang dibina dengan bidadari syurganya, Siti Hajaar membentuk dirinya menjadi lelaki yang lebih baik. Dia mula meletakkan batas dan had dalam setiap aspek kehidupannya.

Tanggungjawab yang dipikul, tidak pernah seperti membebani hidupnya. Biarpun tiada manusia yang boleh lari dari kesilapan, namun hadirnya isteri tercinta menjadikan dia yakin dan percaya, setiap ujian ada solusinya.

“Sebagai suami, saya perlu tahu batas dalam pergaulan. Ada hati yang saya perlu tatang dan jaga dengan sebaik mungkin. Perubahan tanggungjawab itu membuatkan saya lebih matang dalam membuat keputusan.

“Benar tiada perkahwinan yang manisnya sentiasa. Adakala, kami seperti pasangan lain ada rajuk dan manjanya. Manusia sering melakukan kesilapan, tetapi pasangan kita adalah rujukan kita selain agama itu sendiri.

“Isteri banyak memberi teguran dan nasihat, ada had dalam perhubungan dan batas bersentuhan. Dalam Islam sendiri sudah tertulis itu semua. Kita hanya tinggal menuruti perintah-Nya,” katanya.

MASING-MASING PUNYA PERJUANGAN SENDIRI

Membuka ruang bicara tentang kesihatan mentalnya, penyanyi Mimpi itu mengakui, ketika ini, ramai yang sedang berjuang melawan jiwa sendiri. Selepas pandemik, kita semua ibarat berperang dengan mental.

Sebagai pemain industri seni yang semua sedia maklum ada hitam dan putihnya, dia perlu mencari titik pulang untuk dia sandarkan masalah dan kegusaran hati dalam menempuhi apa jua cabaran mendatang.

“Isteri saya adalah telinga untuk saya luahkan semua. Kami banyak berbual dan bercerita. Apa yang baik, kita kongsi. Yang buruk, kita teladani supaya tidak berulang. Pemain industri seni memang punya perjuangan sendiri bila bercakap tentang kesihatan mental.

“Kita tidak boleh mencanang kuat, kita okay walaupun hakikatnya dalam fikiran ada ‘peperangan’ yang berlaku. Saya sendiri, mendekatkan diri dengan Tuhan. Itu adalah cara saya melawan persepsi.

“Kita harus percaya, tiada apa yang kekal abadi. Yakinkan diri, semua yang terasa pahit akan berlalu dan kemanisan akan tiba juga. Kita harus tahu bagaimana untuk cari kekuatan dalam kelemahan,” kongsinya.

Sengaja saya bertanyakan siapa MK dalam lima tahun akan datang? Dia tersenyum dan mengambil masa untuk memproses jawapan. Dengan mata yang penuh harapan, lelaki berusia 27 tahun ini berkata;

“Saya serahkan semuanya kepada rezeki yang telah Tuhan tuliskan. Bukan sahaja lima tahun akan datang, untuk hari esok juga, saya percaya Dia sudah takdirkan dengan sebaik-baiknya. Yakinkan diri.

“Tetapi menuju ke hari tua, saya juga percaya dengan kejayaan tidak akan mengkhianati usaha. Saya sudah ada keluarga, lelah bukan lagi satu pilihan. Kegagalan adalah ujian, tetapi saya perlu bangkit semula.

“Saya cuma mahu menjadi lelaki, anak, suami dan jika ada rezeki-Nya, ayah yang baik. Kita tidak mampu meramalkan sesuatu. Yakinlah, Tuhan itu ada untuk kita,” ujar anak kelahiran Tawau, Sabah itu.

TIADA YANG KEKAL DALAM HIDUP

Gelanggang soal kerjaya seni mula panas. Namun sebelum pertanyaan tentang projek seni baharu, saya cuba mengorek ‘perbalahan’ yang pernah berlaku antara dia dan sahabat baiknya, Tuju.

Biarpun persahabatan itu kembali bertaut namun, MK sehingga kini seperti cuba menyimpan dalam isi cerita yang tersirat. Apa sebenarnya berlaku? Bagaimana dengan mimpi K-Clique? Sudah masa kembali bersama atau itu hanya tinggal mimpi?

“Sejujurnya, untuk K-Clique kembali berlapan itu agak mustahil. Saya tidak nampak jalan ke arah mimpi itu. Tetapi tidak mustahil untuk kami berkolaborasi dengan Tuju, sementelah kami bersahabat baik.

“Apa yang berlaku adalah isu dalaman. Ego masing-masing. Saya juga punya ego sendiri. Saya fikir saya betul. Tetapi sesudah kematangan dan pengalaman mengajar diri, kami sedar persahabatan itu lebih penting.

“Banyak yang saya belajar. Sesuatu itu tidak akan berkekalan. Kami terima keadaan ini dan terima kesalahan masing-masing. Sekarang setiap kami punya jalan hidup, impian dan tanggungjawab sendiri,” katanya.

Namun tidak pernah sekali pun pelakon filem Rebel:Berontak Untuk Berotak ini terfikir, K-Clique akan terpisah. Bersama membina impian ketika zaman persekolahan, akhirnya semua itu hanya tinggal mimpi.

“Jika kami tidak bertemu di lapangan terbang hari itu, mungkin perbalahan ini akan lama. Dua tahun kami ambil masa untuk dinginkan api kemarahan. Dia cerita apa yang terpendam, begitu juga saya.

“Masing-masing akui kesilapan dan memadam keegoan yang beraja. Saya tahu peminat sangat harapkan kami untuk kembali berlapan, maafkan kami. Kita harus bergerak ke hadapan,” ujar pemilik jenama Three O’ Two itu.

Bercakap soal projek seni, ketika ini, MK sedang dalam penggambaran drama baharu, BaraJiwa arahan Osman Ali dan bergandingan dengan Mawar Rashid. 

“Rebel: Berontak Untuk Berotak sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Ada drama baharu juga, Saya bukan Ustazah yang akan mula bersiaran tidak lama lagi. Lagu baharu? Ada, tunggu.

“Tetapi kalau tanya album baharu, K-Clique, saya juga tidak ada jawapannya. Jika anda menanti, saya juga sama sejak lima tahun lalu. Ada rezeki, masa dan jalannya, kami akan tampil dengan karya baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×