Kontroversi? Saya enggan dikenali dengan cara itu - Utusan Malaysia

Kontroversi? Saya enggan dikenali dengan cara itu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JATUH cinta dengan seni hiburan sejak berusia sembilan tahun, Zera Hariz enggan mengambil jalan pintas menimbulkan kontroversi semata-mata untuk dirinya dikenali. Tidak menyangkal bahawa di zaman digital, tumpuan akan selalu diberikan kepada hal-hal sensasi. Namun bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, biarlah dia dikenang dengan imej baik dan budaya kerja yang terpuji.

Daripada bidang nyanyian, Zera mencuba nasib di bidang lakonan. Rezekinya lebih luas apabila aktif berlakon watak sampingan di drama televisyen dan teater. Kini, Zera bakal muncul dengan debut filem pertamanya bertajuk Syif Malam.

Perjalanannya tidak mudah apabila pernah ditolak berkali-kali daripada muncul di layar kaca kerana tidak cukup pengikut di media sosial. Ada juga yang meminta Zera membeli pengikut jika mahu terlibat dalam drama dengan produksi lebih besar.

Gadis berusia 28 tahun itu hanya tersenyum, enggan menipu pengkikut atau bersikap syok sendiri.

“Dari usia 16 tahun saya rajin pergi uji bakat lakonan. Saya tahu mungkin nama saya belum cukup dikenali. Tapi saya yakin, inilah proses yang perlu saya lalui. Lagi pula niat saya bukanlah semata-mata untuk popular tapi kerana minat.

“Selagi ada orang yang percayakan bakat saya, itupun sudah bersyukur. Saya pernah ditolak kerana tidak ramai pengikut dan ada yang cadangkan saya lakukan kontroversi atau beli pengikut.

“Ya, orang sekarang perlukan perkara itu, tapi untuk saya secara peribadi, saya enggan dikenali dengan cara sebegitu,” katanya.

Tidak melupakan cinta pertama iaitu bidang nyanyian. Zera melawan fobianya menaiki kapal terbang untuk merakamkan single bertajuk Akhir Penantian di Indonesia bersama komposer, Hadi Rumnan.

“Setelah melihat video nyanyian saya, ada pemuzik dari Indonesia yang berbesar hati untuk menghasilkan single dengan melodi pop balada untuk saya.

“Saya terbang ke Indonesia dan syukur sebab semua kos rakaman dan perjalanan saya ditanggung mereka. Mereka menyukai suara saya yang sangat serasi dengan lagu tersebut.

“Akhir Penantian adalah ‘anak’ pertama saya dan saya sangat bangga menyanyikannya,” tambahnya.

Lega tidak diganggu entiti mistik

Bercerita lebih lanjut mengenai lakonan filem pertamanya sebagai Ayu dalam Syif Malam. Zera lega kerana ini kali pertama dia tidak diekori entiti mistik selepas penggambaran.

“Sebelum ini saya pernah terlibat dalam sebuah naskah cerita hantu. Penggambaran pula dilakukan di sebuah bangunan lama di Ipoh. Selepas penggambaran saya diganggu entiti mistik apabila sering terdengar orang mengilai.

“Saya juga mimpi yang aneh dan menakutkan. Mujurlah untuk syif malam saya tidak mengalami peristiwa seperti itu,” dedahnya.

Syif Malam bercerita mengenai sekumpulan pekerja yang pulang lewat malam kerana melakukan kerja tambahan. Ketika itulah dia hantui banyak perkara mistik. Syif Malam bakal menemui penonton pada 7 Disember ini.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.