Pembuka diskografi Late Night Frequency - Utusan Malaysia

Pembuka diskografi Late Night Frequency

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA diminta menyenaraikan kugiran baharu yang cemerlang dalam tempoh setahun dua ini, saya tanpa was-was akan meletakkan nama Late Night Frequency.

Kugiran ini lahir pada 2021 dan dalam tempoh lebih setahun, banyak kejayaan telah dicapai. Anggota kugiran ini bukan baharu – Moja (vokal),Adeep (gitar), Ku Miro (bass) dan Ringo (dram) pernah menganggotai kugiran lain sebelum ini.

Hanya Mr. Wolf (saksofon) yang misteri itu kita tidak tahu sejarahnya tapi saya yakin, dia bukanlah pemuzik yang baru kenal instrumennya.

Namun, Late Night Frequency sebagai sebuah unit muzik masih baharu.

Muncul dengan lagu Fun Lust Love pada 2021, mereka terus mara bergaya dalam lapangan independen, malah industri muzik secara keseluruhannya.

Hanya dengan Fun Lust Love, mereka sudah berjaya mara ke Pentas Akhir Anugerah
Lagu Indie (ALI) 2021, enam terbaik Vans Musician Wanted Malaysia 2021 dan pencapaian terbaiknya, memenangi kategori Lagu Pop Elektronik/ Dance Terbaik dalam AIM23.

Nama Late Night Frequency juga tidak asing dalam poster gig dan festival. Mereka sudah beraksi dalam gig kecil yang tak berapa nak laku sampai ke festival besar seperti Good Vibes.

Langkah awal Late Night Frequency dibuka dengan kaki kanan. Rezeki mencurah dan memihak kepada mereka. Apa rahsianya?

Rancangan Agung

Moja mengakui, langkah muzik Late Night Frequency disusun rapi. Berbekalkan pengalaman bersama kugiran lama, Monalyssa dan Shuuna sebelum ini, Moja merancang semua pergerakan Late Night
Frequency.

“Sebagai contoh, kami memang utamakan persembahan langsung. Jadi,dari permulaan menulis, memang aku dah bayangkan, macam mana nak nyanyi live? Macam mana interaksi kami?

“Semua lagu kami dah rancang persembahan langsungnya. Bila rakam, (kedengaran) sedap juga.
Semuanya dah dirancang,” katanya.

Rancangan itu termasuk dari segi imej. Ini keistimewaan utama Late Night Frequency yang sentiasa tampil menyerlah dalam mana-mana acara dengan pakaian seragam dan kostum aneh.

Dalam ALI 2021, semua anggota mereka memakai bola disko di kepala, kecuali penyanyi dan pemain saksofon.

“Memang susah nak main (dengan bola disko di kepala) tapi aku rasa benda itu penting. Aku rasa dalam Malaysia belum ada lagi kugiran yang pakai bola disko,” kata Ku Miro.

MR. WOLF

Sejak awal, Moja akan merujuk kepada mimpi yangdialaminya lama dahulu apabila ditanya tentang penubuhan kugiran ini. Dalam mimpi tersebut, dia didatangi siluman serigala yang menyuruhnya
memulakan satu projek muzik.

Watak siluman ini selalu ada, baik dalam video muzik Fun Lust Love atau persembahan
langsung mereka.

Bermula dari ALI 2021, siluman yang dikenali sebagai Mr. Wolf itu tampil dengan instrumen
baharu, iaitu saksofon.

Dari ALI 2021 sehingga lagu terbaharu mereka, Ruang, tiupan saksofon Mr. Wolf mengangkat
Late Night Frequency ke tahap yang lebih tinggi.

Ia melengkapkan kugiran itu. Dalam Sinaran, saksofon Mr. Wolf beri warna yang paling terang. Tanpa Mr. Wolf, ada yang kurang dengan lagu-lagu Late Night Frequency.

Ketika ditemu bual, Mr. Wolf datang dengan satu prinsip muzik yang turut menjadi pegangan semua anggota kugiran.

“Sepanjang bermuzik, saya mencari ketidaksempurnaan. Sebab kita main dari jiwa, kadangkala ia akan
‘merosakkan’ muzik itu, ‘memecahkan’ muzik. Produk akhir (lagu) atau dalam persembahan langsung,
kerosakan itu yang saya mahu buat.

“Late Night Frequency sempurna untuk mengalami muzik yang sebegitu,” katanya.

DISKOGRAFI

Pada 5 November ini, Late Night Frequency akan melancarkan album sulung mereka yang diberi nama
Diskografi. Album ini akan mengandungi 11 lagu dengan penampilan pelbagai penyanyi jemputan, termasuk Imran Ajmain, Radhi OAG, Asyraf Nasir, Aiman Nomad dan Ichu.

Pelancaran album tersebut akan diadakan di The Bee, Publika pada hari sama. Selain semua penyanyi jemputan, tiga kugiran iaitu Budak Nakal Hujung Simpang, Grey Sky Morning dan Son Of A Policeman bersama DJ, Fi7i turut membuat persembahan.

Album ini, bersesuaian dengan namanya, akan menjadi pembuka diskografi Late Night Frequency. Ia langkah besar dalam perjalanan muzik kugiran ini.

Banyak kejayaan telah dicapai Late Night Frequency tetapi laluan selanjutnya tak semestinya mudah buat
mereka. Dalam liga muzik mereka, ada pesaing yang bukan calang-calang.

Joyberry, Alchemist dan Steff Fleur antara nama yang seliga dengan mereka. Joyberry juga akan melancarkan album sulung pada tarikh sama sementara Steff Fleur masih perlahan dan Alchemist sudah senyap entah ke mana.

Dari segi imej, Late Night Frequency menang mudah. Mereka juga ada barisan pemuzik yang hebat dan
berpengalaman. Namun, dari segi lagu, setakat tiga single yang telah dilancarkan, mereka perlu berusaha lebih.

Baki lapan lagu dalam album Diskografi akan menentukan kedudukan mereka dalam lapangan dan industri tahun ini. Jika yang disimpan itu lebih mantap daripada tiga lagu awal, mereka sudah boleh atur
jalan untuk jadi kugiran besar negara, bukan setakat dalam lapangan independen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya