Hujan dan Bunkface: Sudahkah mereka mencipta legasi? - Utusan Malaysia

Hujan dan Bunkface: Sudahkah mereka mencipta legasi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bunkface pada 10 Jun lalu mengumumkan konsert ulang ta­hun mereka yang ke-15. Konsert 15 Years Of Korang itu dinamakan sempena lagu mereka yang bertajuk Korang, yang mana lagu ini diciptakan untuk meraikan kumpulan peminat mereka yang bernama Bunkers. Konsert ini akan diadakan pada 30 Julai di Zepp Kuala Lumpur yang merupakan lokasi acara muzik ter­baharu bertaraf antarabangsa yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Tiba hari penjualan, se­mua tiket telah habis dijual, ti­dak sampai sehari dibuka. Ini membuatkan Bunkface mengadakan hari kedua konsert itu pada 31 Julai di tempat sama.

Sementara itu, kugiran Hu­jan pula diumumkan sebagai kugiran utama untuk konsert SoundCircus Festival 2022 yang diadakan sebagai sebahagian daripada acara Art Of Speed 2022 pada 2 dan 3 Julai lalu. Konsert ini berlangsung pada 2 Julai dan tiket konsert itu dijual bersama tiket acara Art Of Speed 2022 secara berasingan secara atas talian pada 1 Jun.

Seperti apa yang berlaku pa­da penjualan tiket hari per­tama konsert 15 Years Of Ko­rang Bunkface, tiket konsert SoundCircus Festival 2022 pun habis dijual pada hari tiket bermula dijual.

Melihat sambutan kedua-dua konsert ini, ia membuat saya terfikir dua perkara: sama ada sambutan ini disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang membuatkan orang ramai di seluruh Malaysia tidak boleh keluar rumah selama dua tahun berturut-turut ‘membalas dendam’ ataupun kedua-dua kugiran ini (Bunkface dan Hujan) mempunyai impak yang sangat besar untuk generasi yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

Kugiran legasi
Saya mengatakan begini kerana pada tahun lepas Hujan telah mengadakan konsert Hujan 16 Tahun dengan empat tema yang berbeza, yang mana tiket setiap hari konsert itu dengan mengikut temanya habis dijual.

Dalam gerakan muzik bebas Malaysia, Bunkface dan Hujan boleh diiktiraf sebagai dua kugiran yang berjaya kerana kedua-dua kugiran ini berjaya menjadikan muzik sebagai kerjaya sepenuh masa.

Sebagai kugiran yang bergerak sendiri, ramai yang terlibat dalam gerakan muzik bebas Malaysia sekarang menjadikan kedua-dua kugiran ini sebagai inspirasi utama mereka.

Persoalannya, adakah kedua-dua kugiran ini boleh dinobatkan sebagai sebuah kugiran legasi atas impak mereka terhadap gerakan muzik bebas Malaysia?

Sebelum persoalan ini dijawab, terlebih dulu mari kita huraikan apa yang dimaksudkan dengan sebuah kugiran legasi.

Sebuah kugiran legasi adalah kugiran yang meninggalkan impak besar terhadap industri muzik, mempunyai dasar peminat yang sangat kuat dan setia, boleh bertahan lebih daripada 10 tahun dan peminat mereka tetap mahu pergi melihat persembahan mereka walaupun sudah lama tiada lagu baharu. Walaupun mereka ada mengeluarkan lagu baharu, lagu-lagu mereka yang popular tetap keluar dari bibir-bibir yang mengenali mereka.

Berdasarkan huraian ini, Bunkface dan Hujan sudah boleh dinobatkan sebagai sebuah kugiran legasi, tetapi kenapa tidak ada lagi kugiran-kugiran lain yang sezaman dengan mereka yang boleh mencapai pengiktirafan ini?

Kugiran-kugiran seperti Bittersweet, Komplot, Laila’s Lounge, Meet Uncle Hussain dan banyak lagi kugiran lain yang sezaman dengan Bunkface dan Hujan semuanya boleh mencapai pengiktirafan ini. Namun, sayang sekali, mereka semua telah bubar dan peluang untuk kembali sangat tipis walaupun kebanyakan kugiran-kugiran ini mempunyai impak yang agak besar dalam gerakan muzik bebas Malaysia.

Bagaimana pula dengan Butterfingers dan OAG, dua kugiran satu generasi sebelum Bunkface dan Hujan dalam gerakan muzik bebas Malaysia yang juga boleh dinobatkan sebagai kugiran legasi? Walaupun kedua-dua kugiran ini tidak begitu aktif sekarang, impak mereka begitu besar dalam gerakan muzik bebas Malaysia.

Noh (Hujan) dalam satu temu ramah pernah berkata yang Hujan tidak akan wujud jika album Selamat Tinggal Dunia dari Butterfingers tidak dihasilkan dan dikeluarkan.

Selain itu, kugiran generasi terkini yang boleh capai pengiktirafan sebagai sebuah kugiran legasi adalah Masdo dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) kerana kedua-dua kugiran ini sangat aktif sekarang. Kedua-dua kugiran ini juga mempunyai impak tersendiri dalam gerakan muzik bebas Malaysia.

Dua bukan empat
Entah mengapa di Malaysia, kita selalu hanya boleh me­nyenaraikan dua kugiran yang mem­punyai impak dalam gerakan bebas muzik Malaysia dan tidak empat seperti The Big Four of Thrash Metal yang terdiri daripada empat kugiran besar genre Thrash Metal, iaitu Metallica, Slayer, Megadeth dan Anthrax.

Senarai ini sering menjadi perbualan dalam kalangan peminat muzik seluruh dunia dan daripada senarai ini, ramai peminat muzik selalu mencuba untuk menyenaraikan empat nama besar untuk genre-genre muzik yang lain.

Perhatikan setiap kugiran yang disenaraikan dalam gerakan muzik bebas Malaysia yang boleh dinobatkan sebagai kugiran legasi mengikut zaman. Setiap zaman itu hanya ada dua kugiran saja yang mempunyai impak yang agak besar dan penting dalam gerakan muzik bebas Malaysia dan juga mengikut sedikit sebanyak huraian maksud sebuah kugiran legasi.

Adakah setiap kugiran yang boleh dinobatkan sebagai kugiran legasi dalam rencana ini layak untuk mendapat pengiktirafan itu? Bolehkah setiap kugiran yang disenaraikan itu mencapai status kugiran legenda seperti Search dan Wings di Malaysia?

Jawapan itu terletak kepada setiap orang yang meminati muzik dan bagaimana mereka mengangkat dan meraikan setiap kugiran itu.

Penulis ialah pemerhati gerakan muzik bebas Malaysia dan penulis di majalah Junklist Digest.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya