PORT DICKSON: Seorang bapa tergamak melakukan sumbang mahram dengan merogol anak perempuan sendiri sejak mangsa berusia 12 tahun sehingga melahirkan dua orang anak.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, perbuatan terkutuk suspek berusia 40-an itu bagaimanapun hanya terbongkar selepas lapan tahun apabila mangsa seorang wanita yang kini berusia 20 tahun membuat laporan polis lebih kurang 11.11 malam pada 1 Mei lalu.
“Mangsa memaklumkan telah dirogol oleh bapa kandungnya. Kejadian ini pernah diceritakan kepada ibu mangsa namun tidak diendahkan walaupun dia telah melahirkan dua orang anak.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sejak tahun 2016 ketika mangsa berusia 12 tahun sehinggalah kejadian terbaru pada tahun 2024,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, kesemua kejadian rogol itu berlaku di dalam bilik rumah mereka di Kampung Chuah di sini.
Menurut Aidi Sham, difahamkan hasil perbuatan sumbang mahram itu mangsa telah melahirkan dua orang anak yang mana seorang meninggal dunia ketika dilahirkan dan seorang lagi kini berusia tiga tahun.
“Susulan laporan polis tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas suspek lelaki dan isterinya yang berusia 40-an di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson lebih kurang pukul 11.40 pagi kelmarin (3 Mei 2024).
“Suspek lelaki yang merupakan bapa kandung mangsa mengambil upah kerja kampung dan suspek wanita itu adalah ibu mangsa,” katanya.
Jelas beliau, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Seremban dan ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga 8 Mei depan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan,” katanya lagi.-UTUSAN.











