ALOR SETAR: Suspek yang disyaki menetak abang iparnya sehingga putus kepala dalam kejadian di Kampung Pida 3, Jerlun dekat sini malam tadi direman enam hari bermula hari ini.
Perintah reman ke atas lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md. Ali.
Siasatan ke atas suspek yang masih bujang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, mayat mangsa akan dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.
Katanya, hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah.
Malam tadi, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pesawah berusia 45 tahun putus kepala dipercayai akibat ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah padi di Kampung Pida 3.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam semalam, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan. – UTUSAN











