BANGI: Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan 3 Bangi di sini kecoh apabila sebuah stor peralatan sukannya musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.54 pagi sebelum sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dan Kajang digerakkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota terus melakukan pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki daripada pam jentera dan pili bomba. Kebakaran berjaya dikawal pada 7.07 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada 7.30 pagi
“Pemeriksaan awal mendapati bangunan kelas A berkeluasan 20 x 60 kaki yang dijadikan stor sukan itu sudah terbakar 100 peratus,” katanya, kepada pemberita, hari ini.
Katanya, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Menurut Ahmad Mukhlis, kerja-kerja overhaul dilakukan selepas kebakaran berjaya dikawal.
Operasi melibatkan 16 anggota dari BBP Bangi dengan bantuan BBP Kajang melalui penggunaan dua jentera FRT, sebuah EMRS dan sebuah tangki air. – UTUSAN










