KLANG: Seorang murid lelaki Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru di sini, meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A semalam.
Allahyarham Muhammad Syeikhu Azrin yang berusia lapan tahun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa disahkan dijangkiti Influenza A, malah seluruh ahli keluarga kanak-kanak itu turut didapati positif wabak berkenaan.
“Polis menerima laporan mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki di kawasan Meru pada awal pagi. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambah Vijaya, pasukan kesihatan telah mengambil langkah pencegahan termasuk pemeriksaan dan pemantauan bagi mengawal penularan jangkitan di kawasan berkenaan. – UTUSAN