HULU LANGAT: Lebih 200 rumah terkesan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah ini petang semalam, termasuk di Sungai Serai dan Felda Semungkis.
Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Felcra Semungkis, Abu Samah Ibrahim, 44, berkata, isu banjir kilat di kawasan itu bukan kali pertama berlaku sebaliknya sudah berulang hampir setiap tahun sejak 2017.
Menurutnya, projek pelebaran sungai di kawasan berkenaan telah diluluskan dan penduduk berharap ia dapat meminimumkan risiko banjir selepas ini.
“Tahun ini sahaja sudah empat kali kampung kami dilanda banjir. Kami penat menanggung kerugian, malah kebanyakan barangan rumah yang digunakan sekarang hanyalah hasil sumbangan orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, sejak banjir pertama melanda pada 2017, dia berulang-alik membuat aduan kepada pihak berkuasa dan sehingga kini mereka masih tidak mendapat pampasan sewajarnya.
“Harapan saya supaya kerajaan campur tangan segera, berbincang dengan wakil penduduk serta pemaju bagi mencari jalan penyelesaian kerana keselamatan kami terjejas dan kehidupan kami tidak lagi sama sejak kampung ini mula dilanda banjir,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz memberitahu, sehingga semalam seramai lima keluarga melibatkan 20 hingga 30 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Serai.
Jelasnya, di Felda Semungkis pula lebih 20 rumah penduduk termasuk sebuah surau turut terjejas dalam kejadian itu.
“Kami sedang menumpukan kepada proses pembersihan rumah serta penyediaan makanan kepada penduduk yang terjejas sejak malam tadi.
“Sekarang proses pembersihan sedang berjalan. Kita fokuskan bantuan segera dahulu dengan menyediakan makanan di PPS serta menghantar bekalan ke rumah-rumah yang terkesan,” katanya. – UTUSAN










