SHAH ALAM: Memilukan apabila dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Jalan Cili Merah, Seksyen 24 di sini, petang tadi.
Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Che Syazwan Irwan Shah, 12, dan Arshidayan Arijanto berusia sembilan tahun.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bagi menjalankankan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.19 petang
“Dua kanak-kanak itu berjaya ditemukan dan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, operasi itu terkawal dan ditamatkan sepenuhnya pukul 8.08 malam.
“Mayat dua mangsa itu diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya. – UTUSAN