MELAKA: Selepas lebih 31 jam dilaporkan hilang di kawasan hutan ketika mencari lembu, seorang remaja orang kurang upaya (OKU) pembelajaran ditemui selamat, meskipun dalam keadaan lemah di Kampung Permatang Pasir, Alai di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, ditemui kira-kira pukul 1.57 pagi oleh penduduk kampung bersama pasukan bomba selepas terdengar suara mengerang dari arah semak belakang sebuah rumah penduduk.
Siaran langsung yang tular di media sosial memaparkan, remaja itu dipapah dua anggota bomba sambil kedengaran laungan azan daripada penduduk sekitar.
Mangsa yang berada dalam keadaan lemah dibawa ke rumah salah seorang penduduk untuk berehat sementara menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan polis atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung penemuan mangsa.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang remaja lelaki OKU pembelajaran dilaporkan hilang selepas keluar mencari lembu milik bapa saudaranya di kawasan hutan di Kampung Permatang Pasir.
Muhamad Aidil Asyraf tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar pukul 6.30 petang, kelmarin untuk menguruskan 13 ekor lembu seperti kebiasaan.
Ibunya, Siti Norehan Azhar, 38, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu sudah tiga tahun menjaga ternakan berkenaan dan diberi upah oleh bapa saudaranya. – UTUSAN