Proses mencari warga Britain hilang membawa kepada mayat

Proses mencari warga Britain hilang membawa kepada mayat dalam ruang lif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses pencarian warga Britain, Jordan Michael John Johnson-Doyle, 25, sejak 27 Mei lalu membawa kepada penemuan mayat yang identitinya belum dikenal pasti dalam ruang lif di sebuah tapak pembinaan di Bangsar di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pencarian dilakukan berdasarkan siasatan terhadap lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada.

Menurutnya, seramai 30 anggota polis digerakkan ke lokasi berkenaan dengan bantuan kontraktor serta pihak pengurusan bangunan bagi menjalankan operasi pencarian secara menyeluruh.

“Hasil pencarian, kita menemukan satu mayat dalam ruang lif yang masih dalam pembinaan. Bagaimanapun, identiti mayat tersebut masih belum dapat dipastikan.

“Kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi, namun siasatan akan dilakukan dalam pelbagai sudut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

“Kita tidak akan ambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) di lokasi sebaliknya ia akan dilakukan di PPUM.

“Jika pengecaman secara fizikal tidak dapat dilakukan, barulah ujian DNA akan dijalankan,” ujarnya.

Mangsa dilaporkan hilang sejak 27 Mei lalu selepas dipercayai mengunjungi sebuah bar di Bangsar.

Kehilangannya disedari rakan dan keluarga apabila dia gagal dihubungi, manakala akaun media sosialnya juga tidak menunjukkan sebarang aktiviti selepas hari kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN