Hasrat nikah Ogos tidak kesampaian

Hasrat nikah Ogos tidak kesampaian

GAMBAR terakhir Muhammad Nasri Sulaiman dan Norafikaharanap Syafaruddin yang diambil ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Hasrat sepasang kekasih untuk melangkah ke alam perkahwinan pada Ogos ini tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemala­ngan di simpang empat Melati, Rompin dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu, Muhamad Nasri Sulaiman, 32, dan tunangnya, Norafikaharanap Sya­faruddin, 33, yang menaiki kereta Proton Wira dirempuh sebuah lori ketika keluar dari simpang di Kilometer 147, Jalan Kuantan-Seremban.

Rempuhan itu mengakibatkan Muhamad Nasri maut di tempat kejadian manakala Norafikaharanap parah sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Pasangan itu dalam perjalanan ke Taman Perling, Johor Bahru, Johor bagi mendapatkan salinan surat cerai Muhamad Nasri sebagai dokumen soko­ngan untuk pernikahan mereka di Pejabat Kadi Temerloh.

Bapa Muhamad Nasri, Sulai­man Johar, 64, berkata, anak ketiganya itu sudah sembilan tahun menduda selepas berce­rai pada 2016, namun kekal menjalinkan hubungan baik dengan bekas isteri demi anak-anak.

“Mereka baharu saja bertunang Ahad lalu. Isnin, mereka ke Johor, kami sekeluarga sedang buat persiapan hari bahagia mereka pada Ogos ini,” katanya.

Anak Muhamad Nasri, Insyi­rah Batrisya, 11, kini dijaga oleh Sulaiman di Felda Jenderak ­Utara manakala anak keduanya, Izz Fayyadh, 10, dijaga ibunya di Johor Bahru.

Norafikaharanap pula merupakan ibu tunggal beranak satu dari Kampung Batu Kapor, Mentakab.

Bekas isteri Muhamad Nasri, Atikah Amirudin, 30, berkata, walaupun sudah berpisah, hu­bu­ngan mereka kekal dalam ke­adaan baik.

“Saya dan suami baharu, Mohd. Fauzi Abdul Razak, 37, turut datang menziarahi jena­zah di Felda Jenderak Utara. Saya doakan dia tenang di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Husin berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mang­sa keluar dari simpang secara mengejut sebelum dirempuh lori dari arah Bahau.

“Lori Nissan dipandu Mohd. Fazil Abdullah, 53, tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat. Pemandu lori tidak me­ngalami kecederaan,” katanya.

Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang keluar simpang secara melulu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN