KLANG: Nyawa seorang pelajar tingkatan lima menjadi mangsa baharu pemandu lori simen yang membuat pusingan ‘U’ dekat Batu 12, Jalan Kapar menghala ke Jeram, di sini, semalam.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.35 petang itu, pemandu kenderaan berat terbabit dari arah Klang membuat pusingan U dekat kawasan larangan menyebabkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 itu dari arah sama tidak sempat berhenti.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, ketika pemandu bertindak demikian, penunggang motosikal berkenaan tidak sempat berhenti lalu melanggar bahagian tepi lori terbabit.
“Hasil siasatan awal mendapati, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram itu dalam perjalanan pulang dari menghadiri kursus di institut latihan memandu.
“Mangsa datang dari arah belakang (lori) tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan lori dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan lanjut, sementara pemandu lori pula mengalami kecederaan ringan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memberitahu, mangsa tidak sedarkan diri ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar tiba di tempat kejadian.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.30 petang sebelum sepasukan tujuh termasuk pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal Honda dan sebuah lori. Pemandu lori berusia 44 tahun selamat sementara mangsa, Aidith Afzan Kipley Shahibul Kipley meninggal dunia,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret, Teluk Datok kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal dekat Jalan Banting – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Mei lalu. – UTUSAN