TELUK INTAN: “Saya tersepit di tempat duduk depan trak dengan Sarjan Perumal dan pemandu. Sedar-sedar saya sudah berada atas stretcher (pengusung)”.
Itu pengalaman dikongsi Sarjan Mohd. Parih Ali, 44, yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sebuah lori, Selasa lalu.
Mohd. Parih berkata, ketika itu dia berada di bahagian depan trak bersama anggota yang terkorban, Sarjan S. Perumal, 44, dan pemandu, Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39.
“Kerana lewat habis bertugas malam itu lebih kurang pukul 2 pagi, saya rasa sangat mengantuk dan tertidur.
“Saya tak ingat apa-apa cuma saya terdengar bunyi dentuman yang kuat dan sedar-sedar saya dalam keadaan tersepit. Saya sempat melihat dua lagi rakan di sebelah saya, Sarjan Perumal dan pemandu trak, mereka juga tersepit dalam trak. Saya tak dengar apa-apa jeritan minta tolong daripada kedua-dua mereka yang tersepit.
“Saya tak terdaya nak membantu mereka kerana saya juga tersepit. Selepas itu saya tak sedar apa-apa, tahu-tahu sudah berada atas stretcher dan dibawa ke hospital. Saya tidak tahu siapa yang keluarkan Sarjan Perumal dan pemandu trak yang tersepit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mohd. Parih yang dirawat di Hospital Teluk Intan mengalami patah tangan, luka pada beberapa bahagian badan dan pendarahan pada kepala.
Sementara itu, isteri Mohd. Parih, Rohani Yatim, 45, turut bersedih dengan tragedi yang menyebabkan sembilan anggota terkorban dalam kemalangan tersebut.
“Bersyukur kerana suami terselamat walaupun keadaannya masih tidak stabil, namun saya tumpang bersedih kerana ramai yang terkorban itu saya kenal,” katanya. – UTUSAN