‘Ayah seolah tahu bakal dijemput Ilahi’

‘Ayah seolah tahu bakal dijemput Ilahi’

GAMBAR kenangan Razme Harun (duduk, tengah) bersama isteri, anak-anak dan menantunya pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Warga emas yang maut setelah senapang patah buatan sendiri meletup ketika berburu di Tebu Hitam di sini Ahad lalu, seolah-olah mengetahui dirinya bakal dijemput Ilahi.

Anak bongsu mangsa, Norwahaniah Razme, 20, berkata, arwah bapanya, Razme Harun, 62, sering mengungkapkan perkataan ‘kalau aku tidak ada’ sejak beberapa bulan lalu ketika bersama anak-anak dan isteri.

Menurutnya, ungkapan yang diikuti dengan nasihat kepada anak-anak agar meneruskan kehidupan dengan baik sentiasa diingati olehnya dan sembilan adik-beradik.

“Ayah sering menyatakan ungkapan itu malah menyatakan kepada ibu ‘kalau aku tiada pilihlah hendak tinggal dengan anak yang mana’.

“Kami tidak sangka ia menjadi petanda ayah akan pergi buat selamanya dan ungkapan berkenaan memang tidak dapat dilupakan kami semua,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Leban Chondong, semalam.

Norwahaniah berkata, seperti tahu akan pergi buat selamanya, Razme juga sudah menyelesaikan hutang termasuk bil-bil utiliti, selain meminta maaf kepada kawan dan saudara-mara.

“Ayah juga sudah berpesan agar kereta yang baharu dibeli diberi kepada salah seorang abangnya serta meminta supaya abangnya itu segera membuat lesen memandu.

“Ayah juga menyelesaikan urusan jual beli kereta lama dengan seorang penduduk, malah ayah yang menjual udang galah telah menjual semua udang galah yang ada dalam simpanan,” katanya penuh sebak.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, senapang patah buatan sendiri itu meletup dan terkena jari kelingking kanan seterusnya mengenai sisi dada sebelah kanan mangsa.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan susulan itu, polis menahan enam lelaki berusia 35 hingga 67 tahun kerana terlibat dalam aktiviti pemburuan haram.

Menurutnya, pihaknya merampas lima laras senapang patah buatan sendiri dan selaras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino.

“Turut dirampas adalah 25 butir peluru penabur bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN