MELAKA: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru menemui ajal selepas terlibat nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Klebang Besar di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Muhammad Faizal Yahaya, 17, yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran maut di tempat kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi.
Beliau berkata, insiden dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC masuk ke laluan bertentangan, lantas bertembung dengan kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun yang datang dari arah depan.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila pemandu kereta dari arah Batang Tiga menghala ke Klebang manakala si mati dari arah Klebang menghala ke Batang Tiga. Apabila sampai di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan seterusnya telah bertembung dengan kereta yang datang dari arah depan.
“Dalam kemalangan ini, penunggang motosikal telah disahkan meninggal di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Punca kemalangan adalah disebabkan si mati telah memasuki laluan bertentangan dan pemandu terlibat tidak sempat mengelak sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku,” katanya kepada pemberita.
Tambah Christopher, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










