Warga emas maut kereta dilanggar dari belakang, bertembung lori

Warga emas maut kereta dilanggar dari belakang, bertembung lori

KEADAAN dua buah kereta yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Hutan Simpan Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga emas maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua kereta dan sebuah lori di Jalan Hutan Simpan Masjid Tanah di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, mangsa, Yahya Mohd. Talip, 69, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menuju ke Masjid Tanah.

Katanya, sebelum kemalangan berlaku, kereta mangsa diekori rapat kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun bersama tiga penumpang dari arah sama menuju ke Pengkalan Balak.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa telah dilanggar oleh Perodua Myvi menyebabkannya terbabas dan memasuki laluan bertentangan. Sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah Paya Mengkuang menghala ke Bukit Rambai tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa dari arah depan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian. Pemandu Perodua Myvi mengalami luka pada bibir manakala tiga penumpang dan pemandu lori tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Arshad, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

Menurutnya, kesemua kenderaan yang terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN