Banjir: Bandar Kota Tinggi lumpuh, hanya boleh akses dengan bot - Utusan Malaysia

Banjir: Bandar Kota Tinggi lumpuh, hanya boleh akses dengan bot

LALUAN di sekitar bandar Kota Tinggi yang lumpuh kerana dinaiki air dan hanya boleh diakses menggunakan bot.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pusat Bandar Kota Tinggi hari ini lumpuh apabila dinaiki air lebih satu meter berikutan keadaan banjir sejak malam tadi.

Keadaan semakin buruk apabila berlaku pertembungan antara banjir dan fenomena air pasang penuh.

Malah, Jalan Semanggar menuju ke kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tun Habab juga tidak boleh dilalui berikutan air berarus deras yang membanjiri laluan berkenaan.

Jalan Tun Sri Lanang juga telah ditutup bagi kegunaan semua jenis kenderaan kerana telah ditengelami air setinggi 0.6 meter dengan jarak sejauh 650 meter.

Tinjauan Utusan Malaysia di deretan kedai berhampiran kawasan bandar juga mendapati air naik antara satu hingga 1.5 meter.

Antara laluan yang terjejas ialah Jalan Indah, Jalan Jaafar, Jalan Niaga Utama, Jalan Johor dekat Arked Mara, Taman Kota Mas dan Jalan Tambatan. 

Malah, Sekolah Agama Bandar dan Sekolah Kebangsaan Bandar turut dinaiki air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, sejak air naik mendadak pada pukul 9 malam hingga 4 pagi tadi, seramai 112 orang awam yang terperangkap berjaya diselamatkan.

“Dalam situasi kita menyelamatkan mangsa semasa banjir yang kita percaya terperangkap di dalam bandar, kita menghadapi kesukaran pada peringkat awal kerana mangsa ini enggan berpindah.

“Mangsa banjir yang terperangkap berfikir bahawa keadaan situasi yang berlaku itu (banjir) sekejap dan tidak berbahaya, namun demikian usaha dan sikap profesionalisme yang ditunjukkan agensi penyelamat kita, semua mangsa yang terperangkap lebih kurang 112 orang berjaya dikeluarkan dan ditempatkan di pusat pemindahan yang berhampiran. 

“Nasihat saya kepada masyarakat agar patuhi arahan agensi-agensi penyelamat yang hadir dalam melakukan tugas penyelamatan, sekiranya berlaku situasi banjir di lokasi kediaman ataupun kampung mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan bekalan elektrik di 25 kawasan di Kota Tinggi ditutup bagi keselamatan penduduk yang terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya