MELAKA: Seorang suri rumah berusia 34 tahun ditemui maut oleh ibu saudaranya dalam keadaan berlumuran darah dengan sebilah pisau masih terpacak di dada kirinya di kawasan perumahan mewah di Ayer Keroh di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 hingga 3.30 petang itu, mangsa dipercayai bertindak menikam dirinya sendiri ketika berada dalam tandas rumahnya.
Beliau berkata, polis menerima laporan pada pukul 3.30 petang selepas dihubungi seorang pembantu perubatan Hospital Melaka yang telah tiba di lokasi kejadian.
“Pegawai perubatan ambulans memaklumkan telah membuat pengesahan kematian mangsa yang ditemui dalam keadaan terlantar dan lengkap berpakaian dalam bilik air, dengan tiga kesan tikaman di bahagian dada sebelah kiri badan.
“Pasukan polis terdiri daripada task force, pegawai penyiasat kanan (SIO) Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (D10) dan Unit Pengesan K9 telah ke lokasi dan kita mengesyaki mangsa telah menikam dirinya sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, hasil pemeriksaan, sebanyak dua kesan tikaman ditemui masing-masing berukuran 3 sentimeter (cm) dan 2 cm.
Jelasnya, ketika kejadian mangsa dipercayai tinggal bersama ibu saudaranya berumur 65 tahun dan anaknya berusia 7 tahun, manakala suami bekerja di luar kawasan.
Ujarnya, pemeriksaan di kawasan sekeliling dan dalam rumah menunjukkan tiada kesan geledah atau kesan berselerak yang menunjukkan unsur-unsur jenayah.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian juga menunjukkan tiada pergerakan keluar masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan dan pintu belakang.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN