MELAKA: Sebanyak 11 buah rumah termasuk sebuah bengkel motosikal mengalami kerosakan akibat dibadai angin kuat sewaktu hujan lebat yang berlaku di sekitar Batu Berendam di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, ia melibatkan sembilan buah rumah di Taman Sri Selendang, dua di Kampung Pulau Samak dan sebuah di Taman Mas Merah.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan menimpa kesemua mangsa terlibat.
Mangsa, Safri Abdul Khalid, 40, yang juga seorang peniaga berkata, sewaktu kejadian rumahnya tidak berpenghuni kerana dia, ibu dan adiknya berada di luar.
“Lebih kurang pukul 5.30 petang saya terkejut apabila dihubungi kawan memberitahu rumah saya dihempap pokok berusia lebih 80 tahun dalam kejadian angin kencang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Pulau Samak, hari ini.
Safri berkata, dia yang bergegas pulang tergamam melihat rumah didiami sejak 30 tahun rosak teruk terutama di bahagian dapur.
Jelasnya, kerugian akibat kerosakan bumbung dan bahagian dapur dianggarkan bernilai RM10,000.
Dalam pada itu, pemilik bengkel motosikal, Mohd. Naim Kidam, 22, berkata, ketika kejadian dia berada di Klebang dan terpaksa segera pulang apabila terdengar bunyi guruh yang kuat.
Katanya, dia meredah hujan menaiki motosikal dan sejurus tiba di rumahnya di Kampung Pulau Samak, beberapa keping bumbung rumah jiran dilihat diterbangkan ribut.
“Sewaktu sampai di bengkel bersebelahan rumah, saya tergamam melihat bumbung diterbangkan angin kencang. Saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee yang hadir meninjau keadaan mangsa terjejas berkata, agensi berkaitan telah diminta membantu 11 keluarga terlibat.
“Semua mangsa akan mendapat bantuan seperti membaiki bumbung rumah serta beberapa bantuan lain yang kini dalam proses penilaian.
“Saya juga telah meminta pihak bertanggungjawab untuk memotong pokok-pokok besar di sekitar kawasan kampung dan taman kerana dikhuatiri boleh tumbang berikutan musim tengkujuh yang kini melanda negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN