Bumbung tercabut, SMK Munshi Abdullah dilanda puting beliung

Bumbung tercabut, SMK Munshi Abdullah dilanda puting beliung

KEADAAN bumbung di blok C yang tercabut di SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Seram dan takut tengok angin puting beliung,” kata Farariza Bahradin, 45, seorang guru tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam di sini.

Dalam kejadian pukul 2.40 petang tadi, hampir keseluruhan tujuh blok sekolah itu mengalami kerosakan dibadai angin kuat yang dikatakan seperti puting beliung.

Paling teruk apabila kesemua bumbung di blok C yang menempatkan lapan kelas, satu bilik guru dan pejabat tercabut sehingga menampakkan rangka kayu siling.

Farariza berkata, ketika kejadian dia berada di sekolah bersama dua guru, tujuh pelajar tingkatan enam dan beberapa murid Sekolah Rendah I-Musleh.

Katanya, dia mendengar bunyi yang sangat kuat sebelum disusuli tiupan angin kencang.

“Ketika saya membuka tingkap sekolah, saya lihat angin pusar seperti puting beliung yang sangat kuat terus menerbangkan seluruh bumbung sekolah di blok C. Mujur ketika itu pelajar tingkatan enam bersama saya manakala guru dan murid Sekolah Rendah I-Musleh berada di astaka.

“Saya minta mereka semua agar tidak keluar dari kelas dan duduk berlindung sehingga ribut itu berhenti,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Hadir sama melawat sekolah berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Sementara itu, Pengetua SMK Munshi Abdullah, Ramli Abdullah berkata, beliau lega kerana tiada pelajar, guru atau murid Sekolah Rendah I-Musleh mengalami kecederaan.

Katanya, bagaimanapun persediaan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya diadakan Isnin ini terjejas, berikutan kelas yang sepatutnya digunakan mengalami kerosakan.

“Saya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk susun semula peperiksaan itu mengikut keadaan dan mungkin kita menggunakan kelas lain.

“Esok Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penilaian kerosakan yang dialami di semua tujuh blok sekolah, sebelum kerja-kerja baik pulih dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN