Pelajar jatuh bangunan sedang jalani rawatan psikiatri

Pelajar jatuh bangunan sedang jalani rawatan psikiatri

LOKASI seorang pelajar perempuan tingkatan satu ditemui maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah menengah di Durian Daun, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelajar perempuan tingkatan satu yang maut dipercayai jatuh dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah menengah di Durian Daun di sini, kelmarin mengambil dua jenis ubat penenang bagi merawat penyakit yang dihadapinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pelajar itu juga menjalani rawatan psikiatri di Hospital Muar, Johor.

RAHMAD MARIMAN

Menurut beliau, punca kejadian masih belum diketahui dan berkemungkinan mangsa mengalami halusinasi.

“Siasatan telah dijalankan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejurus kejadian berkenaan. Bagaimanapun, punca mangsa terjun masih belum diketahui tetapi mungkin dia mengalami halusinasi.

“Mangsa juga dikenakan perintah pemulihan akhlak selama dua tahun di sebuah sekolah pemulihan akhlak di Bukit Baru tetapi bersekolah di sebuah sekolah di Durian Daun,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pada Khamis lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan satu ditemui maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah menengah di Durian Daun.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa yang berusia 13 tahun ditemui dalam keadaan terlungkup dan kepala berdarah oleh tukang kebun sebelum insiden dilaporkan kepada pihak sekolah.

Tambah Rahmad, jenazah mangsa telah diuruskan JPN dan sekolah untuk dibawa dan dikebumikan di Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN