MELAKA: Kerosakan teknikal yang dihadapi pelantar menara tinjau di Menara Taming Sari di sini hingga menyebabkan seramai 36 pengunjung berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih setengah jam pada ketinggian 60 meter, telah siap dibaiki sepenuhnya kira-kira pukul 11 malam tadi.
Ahli Lembaga Pengarah Menara Taming Sari Berhad, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, operasi menara berkenaan diteruskan seperti biasa hari ini setelah ujian kebolehkerjaan turut dilaksanakan semalam.
“Semua mangsa selamat diturunkan pada pukul 6.30 petang oleh pasukan teknikal Menara Taming Sari mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kerana hadir segera memantau kerja menyelamat.
“Untuk maklumat tambahan, kerosakan teknikal Menara Taming Sari telah siap dibaiki pukul 11 malam (semalam) dan saya sendiri telah menaiki Menara Taming Sari untuk ujian kebolehkerjaan. Menara Taming Sari akan meneruskan operasi seperti biasa bermula 3 Julai 2023,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 36 pengunjung Menara Taming Sari berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih setengah jam dalam pelantar menara tinjau, kira-kira pukul 5.30 petang, semalam.
Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terdiri daripada 26 dewasa, lapan kanak-kanak, seorang warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU) berjaya turun dengan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan, mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan JBPM tanpa sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, salah seorang mangsa insiden, Zuliani Zulkeple, 42, berkata, beberapa pengunjung terlibat mengalami sesak nafas dipercayai akibat kekurangan bekalan oksigen.
Jelas jururawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah itu, ada di antara mangsa terpaksa mengipas ahli keluarga masing-masing bagi mengelakkan kejadian lebih teruk seperti pitam dan sebagainya.
“Keluarga saya juga mula panik apabila bekalan oksigen terasa semakin terhad, apatah lagi kami membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta bayi setahun enam bulan,” katanya. – UTUSAN