Tiga sahabat nyaris maut, kereta masuk gaung elak anjing

Tiga sahabat nyaris maut, kereta masuk gaung elak anjing

KERETA jenis Proton Iriz dinaiki tiga sahabat terjunam ke dalam gaung di Jalan Lendu, Masjid Tanah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Gara-gara mengelak seekor anjing melintas jalan, perjalanan tiga sekawan bertukar tragedi selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter di Jalan Lendu, Masjid Tanah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, nahas yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam itu telah menyebabkan mangsa, Aizat Affandi Saufi Affandi, 25; Muhammad Arif Zawaluddin, 23, dan Muhammad Zairul Faizri Mohd. Fairuz, 21, mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, kereta jenis Proton Iriz dinaiki mangsa sedang dalam perjalanan dari Masjid Tanah menuju ke Alor Gajah turut merempuh sebatang pokok sebelum tersangkut di pohon berkenaan.

“Setiba di lokasi kereta dipandu pemandu berusia 25 tahun itu dipercayai cuba mengelak seekor anjing yang tiba-tiba muncul telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kanan jalan.

“Kereta telah terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter sebelum merempuh dan tersangkut di sebatang pokok. Dua daripada mangsa bekerja di sebuah kilang yang sama, manakala seorang lagi bekerja sendiri.

“Semua mangsa terselamat, namun mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Zaidi Kadiron berkata, pihaknya mengambil masa hampir 25 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari gaung berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN