Penyelia tapak maut, Lancer bergesel dengan Estima

Penyelia tapak maut, Lancer bergesel dengan Estima

DUA kereta terbalik selepas terlibat kemalangan di Kilometer 192.6 arah Utara PLUS berhampiran Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penyelia tapak pembinaan menemui ajal selepas Mitsubishi Lancer dipandunya terlibat nahas dengan sebuah kereta jenis Toyota Estima di Kilometer 192.6 arah Utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Alor Gajah di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Selamat Besar, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan maut itu dipercayai berlaku selepas Toyota Estima dinaiki empat warga Singapura di lorong kiri telah mengubah haluan ke lorong kanan, lantas bergesel dengan kereta mangsa yang berada di lorong kanan.

MOHD. SELAMAT BESAR

“Siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi kejadian terdapat dua lorong dan lurus manakala keadaan cuaca baik serta tidak hujan. Terdapat kesan tayar, geseran dan serpihan komponen kenderaan ditemui di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua kereta dari arah sama iaitu dari Johor menghala ke Melaka. Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Estima yang berada di lorong kiri telah mengubah haluan ke lorong kanan dan telah bergesel dengan Mitsubishi Lancer yang berada di lorong kanan.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat. Kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sejak pagi tadi, tular dalam media sosial video insiden berkenaan yang berdurasi 27 saat memaparkan dua buah kenderaan terbalik dipercayai dirakam oleh pengguna lebuh raya.

Tambah Arshad, keempat-empat warga Singapura berusia dalam lingkungan 28 hingga 56 tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Mereka semua dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands, Pahang. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN