Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan di Tanjung Dahan

Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan di Tanjung Dahan

MAYAT seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di tengah laut perairan Tanjung Dahan, Kuala Linggi, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sekujur mayat tanpa identiti dipercayai berjantina lelaki ditemukan terapung di tengah laut perairan Tanjung Dahan, Kuala Linggi di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mayat dianggarkan berusia dalam lingkungan 50-an itu ditemukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira pukul 3.23 petang, dipercayai telah berada dalam air lebih 24 jam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan manakala mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah pada pukul 8.30 malam tadi.

“Mayat dijumpai di perairan laut Tanjung Dahan berhampiran Akademi Laut Malaysia (Alam) dengan jarak lima batu nautika dari Pantai Tanjung Dahan.

“Bangsa tidak diketahui, jantina disyaki lelaki umur anggaran 50-an. Berseluar panjang jenis slack dan tidak berbaju. Tiada apa-apa dokumen pengenalan diri dijumpai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan daripada nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan.

“Bertindak atas maklumat, Bot Kilat 19 bersama 6 orang anggota bertugas telah digerakkan ke lokasi kejadian dan telah menemui mayat lelaki dewasa, terapung dan memakai seluar panjang berwarna hitam.

“Orang ramai dan komuniti maritim yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN