ALOR GAJAH: Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Talib Karim maut berhampiran simpang lorong rumahnya di Jalan Pegoh Dalam di sini, selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kelisa, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Muhammad Azrief Karim, 16, meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah di dada.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Kampung Pegoh Dalam menghala ke Pegoh.
“Setibanya di tempat kejadian, sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu seorang warga emas berusia 61 tahun tiba-tiba membelok ke kanan memasuki simpang lorong ke rumahnya.
“Mangsa gagal mengelak dan telah merempuh bahagian sisi pintu penumpang hadapan kereta terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Arshad berkata, mangsa keluar dari rumah untuk mengundang rakan-rakannya meraikan sambutan hari lahir bapanya.
“Difahamkan, mangsa ketika itu dalam perjalanan untuk mengajak rakan-rakan makan di rumahnya sempena sambutan hari jadi bapanya.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN