Usahawan wanita hari ini bukan sekadar pelengkap dalam dunia perniagaan. Mereka kini menjadi antara pemacu utama ekonomi negara, tampil dengan idea kreatif, produk inovatif dan strategi kolaborasi yang semakin mantap.
Keberanian menyahut cabaran membuktikan golongan ini mampu melangkah jauh dalam pasaran tempatan.
Mereka bukan sahaja berjaya membina jenama sendiri, malah mengukuhkan rangkaian perniagaan tanpa perlu mengorbankan aspirasi profesional dan peribadi.
Dalam landskap perniagaan moden, peranan wanita semakin relevan. Mereka bukan sekadar tenaga kerja, tetapi penggerak inovasi dan kreativiti.
Pengasas Nisabakri Gourmet, Puan Sri Nisa Bakri berkata, usaha sama di Malaysia berpotensi berkembang pesat dan menjadi laluan pantas untuk mengukuhkan perniagaan melalui jenama sedia ada.
“Usahawan wanita mempunyai kapasiti untuk menonjolkan produk mereka, sama ada melalui pakej prafrancais atau penyertaan dalam pameran rangkaian perniagaan global,” katanya pada majlis pelancaran Kabsa Shepherd Pie sempena ulang tahun ke-20 O’Briens Café di Menara OCBC, Jalan Tun Perak, baru-baru ini.
Kreativiti, kolaborasi kunci kejayaan
Menurut Nisa, kolaborasi bersama koperasi dan agensi berkaitan membuka ruang kepada pemasaran bersama serta akses kepada sokongan kewangan.
“Usahawan bukan sahaja berpeluang memasarkan produk sendiri, malah dapat mengurangkan risiko perniagaan sambil menerima sokongan pemasaran dan membina rangkaian yang lebih luas,” jelasnya.
Pada majlis sama, satu perjanjian kerjasama dimeterai antara O’Briens dengan duta jenama sedia ada, Wai Ching, serta memperkenalkan duta baharu, Winnie K.
Kedua-duanya melambangkan gaya hidup sihat dan seimbang yang seiring dengan nilai jenama tersebut.
Kolaborasi seperti ini memberi peluang kepada usahawan wanita untuk menonjolkan produk, selain mempelajari selok-belok operasi perniagaan berskala besar.
Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan kemahiran pengurusan dan pemasaran mereka.
Pelancaran produk baharu itu juga menekankan kepentingan inovasi tanpa melupakan nilai tradisi. Kreativiti yang digabungkan dengan ketelitian dalam penyediaan produk terbukti menjadi antara kunci kejayaan dalam pasaran yang kompetitif.
Jelasnya, sokongan berterusan antara usahawan tempatan, koperasi dan agensi berkaitan mampu memperkukuh lagi ekosistem keusahawanan negara.
cipta impak positif
Nisa berkata, usahawan wanita memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi mikro, membuka peluang pekerjaan dan memperkenalkan produk kreatif ke pasaran tempatan.
Keupayaan mengimbangi tanggungjawab profesional dan peribadi menjadi antara kekuatan utama mereka.
Malah, beliau menggalakkan wanita lain agar tidak takut mencuba peluang francais sedia ada kerana ia menyediakan laluan lebih pantas untuk berkembang dengan risiko lebih terkawal.
“Melalui kerjasama strategik, mereka bukan sahaja dapat memasarkan produk sendiri, malah menikmati sokongan pemasaran serta jaringan lebih luas,” katanya.
Penglibatan dalam pameran dan program kerjasama turut membuka peluang menembusi pasaran antarabangsa.
Di situ, usahawan wanita boleh belajar daripada rakan kongsi dan menyesuaikan strategi perniagaan mengikut kehendak pelanggan.
Hakikatnya, kejayaan wanita dalam dunia perniagaan bukan hanya diukur melalui pencapaian peribadi, tetapi juga impak.











