BESUT: Seorang kerani kedai perkakasan maut dipercayai tercekik ketika menjamu hidangan sup tulang di rumahnya di Kampung Alur Selising, Jerteh di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, Wan Azlan Wan Ishak, 28, didakwa meronta-ronta sambil mengadu terlekat tulang dan tidak boleh bernafas ketika makan sup tulang tersebut sebelum meninggal dunia.
Kakak mangsa, Wan Suria Wan Ishak, 32, berkata, Wan Azlan tidak pernah menjamah hidangan sup tulang kerana pernah mengalami kejadian terlekat tulang ikan sebelum ini.
Menurutnya, arwah adiknya ketika itu baru pulang dari tempat kerja dan melihatnya berselera makan sup tulang tersebut.
Bagaimanapun, katanya, arwah tiba-tiba meronta sambil mengadu terlekat tulang dan meminta pertolongan.
“Ketika itu, darah banyak keluar melalui hidung dan mulut, saya dan ibu yang menunggu pertolongan adik beradik lain hanya mampu menyuruh arwah mengucap.
“Muka arwah kemudian bertukar menjadi biru sebelum badannya rebah dalam keadaan kaku,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Wan Suria, arwah adiknya kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut, namun, doktor mengesahkan adiknya meninggal dunia pada pukul 5.50 petang.
Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Landak kira-kira 12 tengah malam semalam. –UTUSAN ONLINE