PETALING JAYA : Dua buah kediaman musnah selepas terlibat dalam kebakaran di Jalan Jinjang Permai 2, Jinjang Utara dekat sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah hari itu bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohamad Hasbullah Naimi Mahmood berkata, sebanyak 22 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Jinjang, BBP Sentul dan BBP Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kata beliau, setiba di lokasi, api marak membakar dua buah rumah jenis lot satu tingkat yang dianggarkan berkeluasan 6 x 18 meter persegi.
“Anggota bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.
“Rumah pertama dianggarkan musnah 70 peratus manakala rumah kedua musnah 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, punca kejadian masih dalam siasatan. –UTUSAN ONLINE










