SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai terbabas dan kemudian melanggar tiang lampu lalu terbakar dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah berdekatan Balai Undang Sungai Ujong, Ampangan, dekat sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa iaitu lelaki berumur 35 tahun seorang diri datang dari arah Seremban menghala ke arah Kuala Pilah.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan.
“Akibat kemalangan, kereta tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan sehingga mengakibatkan pemandunya tersepit dan gagal keluar daripada kenderaan sebelum kenderaan tersebut terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nanda, mangsa turut terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan, ” katanya. –UTUSAN ONLINE










