7 sekeluarga hilang tempat berteduh, rumah ranap ditimpa pokok - Utusan Malaysia

7 sekeluarga hilang tempat berteduh, rumah ranap ditimpa pokok

RUMAH pusaka di Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang berusia 38 tahun yang dihuni M. Guneswary, 58, bersama enam lagi ahli keluarganya hampir ranap selepas dihempap pokok sentul dalam kejadian awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: ”Saya dengar seperti bunyi kilat, tiba-tiba pokok buah sentul menimpa rumah kami.”

Demikian cerita M.Guneswary, 58, selepas sebatang pokok sentul sebesar dua pemeluk tumbang dan meranapkan hampir sebahagian rumah pusaka milik ibu mentuanya, S. Suppamah, 74, yang dihuni tujuh sekeluarga di Jalan Pondok Upeh, di sini, semalam.

Guneswary berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, dia dan suaminya, M. Veeramoney, 60, serta ibu mentuanya mengalami cedera ringan manakala empat lagi ahli keluarga termasuk bayi berusia tiga bulan tidak mengalami kecederaan.

Menceritakan kembali kejadian pokok tumbang itu, Guneswary berkata, segalanya berlaku dengan pantas malah tiada hujan lebat atau angin kuat berlaku ketika insiden itu.

“Saya dan suami berada di tingkat atas rumah, saya terdengar bunyi kuat seperti kilat berdentum dan dahan pokok telah berada di atas bumbung bilik kami.

“Saya dan suami dihempap tiang, namun kami dapat meloloskan diri dan menjerit memanggil ahli keluarga lain di tingkat bawah supaya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Jalan Pondok Upeh, semalam.

Menurutnya, dalam keadaan gelap, semua ahli keluarganya termasuk ibu mentuanya menyelamatkan diri ke bahagian belakang rumah.

“Kami sanat terkejut selepas melihat keadaan rumah yang hampir ranap ditimpa pokok. Kami berlindung sementara di rumah jiran berhampiran kerana rumah ini tidak selamat untuk diduduki lagi,” katanya.

Tambahnya, dia kini buntu memikirkan di mana ahli keluarganya yang lain tinggal selepas rumah mereka musnah dihempap pokok itu.

“Saya hanya bekerja kilang, suami pula tidak bekerja kerana kurang sihat, kami tidak mampu untuk membaiki rumah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, kejadian yang menimpa keluarga bekenaan berada di dalam pemantauan pihaknya dan akan dibantu dengan segera.

“Dalam kes-kes sebegini, kami bekerjasama dengan Pejabat Parlimen, Pejabat Penghulu dan sebagainya untuk membantu mereka yang terlibat dari segi membaiki bumbung dan struktur rumah yang rosak,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN