PETALING JAYA : Kawalan akan dilakukan oleh Polis di lokasi tanah mendap di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, dekat sini, dalam memastikan kawasan itu tidak dihampiri orang awam bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, ketika ini kerja pembaikan termasuk pemasangan cerucuk sedang berjalan di lokasi terbabit dalam memastikan tanah mendap tidak terus merebak.
“Ketika kerja pembaikan dijalankan, polis akan mengawasi lokasi terbabit, justeru, kita minta kerjasama masyarakat setempat untuk tidak berada hampir di kawasan ini.
“Ini termasuk deretan premis kedai yang terletak berhampiran lokasi kejadian. Kita nasihatkan pemilik premis perniagaan untuk berpindah dan menghentikan sementara operasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, orang ramai termasuk peniaga dinasihatkan tidak berada di lokasi sehingga kawasan itu disahkan selamat untuk diduduki semula oleh agensi berkaitan.
“Kita bersama pasukan bomba, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan sentiasa mengawasi lokasi dalam memastikan keselamatan di situ terjamin.
“Pihak polis juga akan menjalankan rondaan untuk memastikan tiada kejadian pecah kedai atau kecurian berlaku dan kita sudah menugaskan anggota untuk mengawal lokasi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya pemilik lima kenderaan yang rosak akibat kejadian tanah mendap itu belum tampil membuat laporan polis.
Anbalagan berkata, pihaknya difahamkan ada antara kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah kenderaan yang sedang dibaiki di sebuah bengkel kenderaan di situ.-UTUSAN ONLINE