Maut kereta dihempap lori simen - Utusan Malaysia

Maut kereta dihempap lori simen

KEADAAN kereta yang dipandu mangsa yang maut selepas dihempap sebuah lori simen di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu hari ini. FOTO MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dihempap sebuah lori muatan simen yang terbabas ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sri Cemerlang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.10 petang itu mangsa, Roslina Anat Lat, 47, meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan kaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sebelum nahas, lori muatan simen dipandu seorang lelaki itu datang dari arah Jalan Sri Cemerlang menuju ke persimpangan tersebut.

Bagaimanapun kata beliau, pemandu terbabit mendapati brek lorinya tidak berfungsi dan untuk mengelak kenderaan dipandu merempuh kereta lain di hadapan, dia segera menukar laluan dengan membelok ke kiri jalan.

“Semasa membelok, lori itu terbalik lalu menghempap kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat. Mangsa tersepit di dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Sebuah kereta Honda Civic di belakang kereta mangsa turut dihempap lori itu, namun pemandunya seorang lelaki berusia 58 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Suhaimi berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak punca nahas adalah disebabkan kecuaian pemandu lori yang gagal memastikan brek kenderaan dipandunya berfungsi dengan baik.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori itu bagaimanapun mendapati dia negatif dadah,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya