Pemandu lori maut kemalangan, tak sempat hadiri konvo anak di USM - Utusan Malaysia

Pemandu lori maut kemalangan, tak sempat hadiri konvo anak di USM

MOHD. Zulhelmi Ramli menunjukkan gambar kenangan mereka sekeluarga bersama arwah bapanya, Ramli Ibor yang terkorban dalam kemalangan bersama kelindannya di Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Berpantang maut sebelum ajal. Itu gambaran dilalui anak kepada pemandu lori SWM Environment, Ramli Ibor yang maut dalam kemalangan di Kilometer 142, Jalan Johor Bahru-Seremban (Chaah), semalam. 

Menurut Mohd. Zulhelmi, 28, yang juga pekerja di syarikat sama, sepatutnya dia dijadualkan menjadi kelindan lori tersebut bersama arwah bapanya. 

“Saya sepatutnya menaiki lori itu bersama ayah. Namun, pada saat akhir, jadual kerja saya ditukar dengan Muhammad Helmi Karim yang turut terkorban dalam nahas itu.

“Sepanjang lima tahun bekerja, saya memang kerap ditugaskan bersama-sama ayah. Tetapi, semalam ibarat saya telah tertukar takdir dengan Helmi. Dia yang terkorban bersama ayah. Semua ini adalah aturan Allah yang maha kuasa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam kejadian itu, Ramli, 58, serta Muhammad Helmi, 30, ditemukan tersepit di dalam lori mereka selepas bertembung dengan sebuah lagi lori yang dipercayai hilang kawalan dari arah Labis.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu menyatakan arwah bapanya juga seperti menunjukkan tanda-tanda akhir sebelum pemergian.

“Sejak kebelakangan ini, ayah kerap membaca serta mendengar ayat-ayat suci al-Quran di telefon bimbitnya. Ayah juga ingatkan guna teknologi internet untuk perkara yang bermanfaat seperti dengar ceramah agama dan baca surah-surah,” katanya. 

Sementara itu, lebih menyayatkan hati, arwah Ramli juga sudah membuat perancangan untuk menghadiri majlis konvokesyen anaknya, Fatin Amirah, 25, di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. 

Majlis konvokesyen yang akan diadakan pada 16 dan 17 Disember ini menjadi keraian yang dinanti-nantikan mereka sekeluarga setelah lama tidak bercuti bersama. 

Malah, Ramli yang sudah 10 tahun bekerja hanya menunggu dua tahun lagi untuk berpencen dan bercadang membuka gerai makan berkonsepkan menu makanan kampung di Yong Peng bersama isterinya. 

Dalam pada itu, isteri Ramli, Anizah Busha, 54, reda menerima ketentuan Ilahi walaupun masih tekejut dan sedih atas pemergian suami yang tercinta.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.